Senarai nama calon tular hanya mainan pihak tidak bertanggungjawab
JERANTUT – Senarai nama yang dicadangkan dan ditular sejak kebelakangan ini oleh pihak tertentu untuk nama-nama yang bakal dicalonkan bagi kawasan Parlimen Jerantut dan 3 Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini diharap sentiasa bersikap terbuka dengan hati yang tenang.
Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, beberapa kali senarai cadangan nama yang ditularkan melalui media sosial dengan nama-nama individu tertentu yang kadang-kala melucukan.
“Saya hairan siapa punya angkara memainkan isu ini dan boleh merencatkan keadaan harmoni sedia ada di kalangan penyokong Barisan Nasional (BN) dan Umno.
“Diharap kepada penyokong BN jangan tularkan senarai cadangan nama ‘palsu’ itu yang boleh merosakkan keadaan semasa menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, kepada individu yang nama ‘dicadangkan’ dalam senarai itu itu diharap bersiap sedia untuk membantu calon sebenar apabila sampai masa hari penamaan calon kelak.
“Janganlah pula kita rasa kecil hati dengan cadangan nama yang ditularkan oleh pihak yang tidak diketahui.
“Malah, janganlah kepada individu nama yang dicadangkan itu melakukan perkara yang tidak sewajarnya yang boleh melemahkan calon sebenar nanti,” katanya.
Selain itu, diharap pengundi muda dalam Parlimen Jerantut dan DUN diingatkan tidak mudah terpengaruh dengan janji manis pembangkang yang hanya untuk meraih undi.
“Episod hitam pembangkang memerintah negara 22 bulan diharap menjadi pengajaran berguna kepada semua pihak supaya tidak terus tersalah pilih kerajaan,” katanya.-SAHIH.