CARA SEMBELIHAN PATUH SYARIAH
BERI PENDEDAHAN KEPADA PESERTA CARA SEMBELIHAN
JERANTUT: Program Halal Ummah Peringkat Daerah Jerantut mendapat sambutan mengalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat yang diadakan di Masjid Sultan Abdullah Bukit Rang, Pulau Tawar, di sini, hari ini.
Program itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang cara dan kaedah sembelihan yang betul dalam Islam dengan memberi peluang kepada peserta mempraktikkan ilmu berkaitan penyembelihan secara teori dan amali.
Program anjuran bersama dengan Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Pejabat Agama Islam Daerah Jerantut dan Masjid Sultan Abdullah, Bukit Rang, sebagai tuan rumah.
Timbalan Pengarah JAIP, Zakaria Mohamad berkata, program itu dijadikan sebagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) berusaha untuk lebih mendekati masyarakat dan menjalankan tanggungjawab terhadap sosial.
“Kursus ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang cara dan kaedah sembelihan dalam Islam dan memberi peluang kepada peserta mempraktikkan cara penyembelihan yang betul dengan yakin.
“Dua slot perkongsian ceramah, teori dan amali yang menampilkan penceramah dari JAIP dan dibantu tenaga pakar kepada peserta kira-kira 100 orang,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Jerantut, Syarifuddin Mohamad Sa’ad berkata usaha sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang dan beroleh manfaat dan keberkatan dariNya, di samping mengeratkan lagi silaturrahim antara satu sama lain.
“Objektif program ini adalah memberikan kefahaman kepada peserta mengenai konsep halal dan haram dari sudut Islam, memantapkan kefahaman kepada peserta mengenai penyembelihan menurut konsep halalan toyyiban,” katanya.
Seorang peserta wanita yang turut diberi peluang menyembelih ayam, Noraini Che Arshad berkata, dengan ceramah yang diikuti secara teori dan tunjuk cara penyembelihan memberi keyakinan pada dirinya untuk mencuba menyembelih seekor ayam.
“Jarang seorang wanita menyembelih ayam, setelah mengikuti kursus ini, mula keyakinan diri meningkat untuk melakukan sembelihan mengikut syariat nanti,” katanya.