Semangat tidak pudar UMNO Jengka 24 sedia hadapi PRU16
Semangat tidak pudar UMNO Jengka 24 sedia hadapi PRU16
JERANTUT – Semangat kesepakatan dan semangat tidak pudar ditunjukkan ahli akar umbi UMNO Cawangan Jengka 24 dapat meningkatkan keyakinan UMNO Bahagian Jerantut dalam menghadapi PRU16.
Ia ditunjukkan ahli parti cawangan itu dalam Mesyuarat UMNO Cawangan Jengka 24 yang berlangsung semalam.
Bagi AJK UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud, dia bersyukur kerana semua ahli kekal bersemangat tinggi walaupun berdepan kekalahan dalam PRU15 lalu.
“Dengan semangat ditunjukkan dalam mesyuarat kali ini, saya percaya kita dapat membantu merampas kembali kerusi di peringkat DUN dan Parlimen yang jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum yang lalu.
“Saya sendiri tidak menyangka bahawa semua ahli tidak patah semangat dalam perjuangan demi bangsa dan agama.
“Kita masih perlu bekerja keras dalam hal memenangi hati pengundi di Jerantut dan di kawasan DUN Tahan, Pulau Tawar dan Damak,” katanya.
Razak juga yakin segala gerak kerja diatur dapat dilaksanakan dengan lancar melalui kerjasama baik semua pihak, sama ada di peringkat Cawangan dan Bahagian Jerantut.
Katanya, pelbagai program turun padang dilakukan pimpinan dan ahli selepas PRU15 bagi membuktikan bahawa UMNO bukanlah parti untuk musim pilihan raya semata-mata.- SAHIH