Semangat Sukan Satukan Komuniti Pulau Tawar
Semangat Sukan Satukan Komuniti Pulau Tawar
JERANTUT – Karnival Sukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar 1.0 yang berlangsung di sini semalam mencetus suasana meriah apabila penduduk pelbagai peringkat umur berkumpul bagi menyertai pelbagai acara sukan dan aktiviti riadah.
Penyelaras DUN Pulau Tawar, Norsarfinaz Mohd Azman, berkata penganjuran julung kali itu bukan sekadar untuk mencari pemenang, sebaliknya menjadi platform memperkukuh semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.
> “Sukan bukan sekadar pertandingan, tetapi wadah untuk membina hubungan silaturahim, semangat berpasukan serta gaya hidup sihat. Saya berharap karnival ini dapat dijadikan acara tahunan demi manfaat semua penduduk Pulau Tawar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penutup karnival berkenaan yang turut menyaksikan sambutan luar biasa daripada penduduk setempat.
Tambahnya, penganjuran itu juga membuka ruang kepada golongan muda untuk menonjolkan potensi dan kepimpinan melalui penyertaan aktif dalam aktiviti sukan.
> “Kita mahu melahirkan modal insan yang berkualiti serta mencungkil bakat baharu dalam pelbagai acara seperti bola sepak, bola jaring, badminton, tarik tali dan senamrobik komuniti,” katanya.
Karnival berkenaan turut menjadi simbol keakraban penduduk apabila disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk belia, wanita dan warga emas yang hadir memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.
Turut hadir Razak Daud, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, yang memuji inisiatif itu sebagai langkah positif memperkukuh perpaduan di peringkat akar umbi.

Penganjuran Karnival Sukan DUN Pulau Tawar 1.0 sekali gus membuktikan bahawa semangat kesukanan mampu menjadi jambatan perpaduan masyarakat serta menggalakkan budaya hidup sihat, aktif dan ceria dalam kalangan komuniti setempat.-SAHIH
