Semangat Merdeka Warnai Taman Megah Ria
Foto : Baharudin Mohamed Taib (berdiri, kanan) menyantuni kanak-kanak yang menyertai pertandingan mewarna.
Semangat Merdeka Warnai Taman Megah Ria
PASIR GUDANG – Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-68 terus diraikan meriah apabila komuniti Taman Megah Ria, Masai, Pasir Gudang, menganjurkan program kemasyarakatan penuh warna-warni, baru-baru ini.
Program sehari itu dianjurkan oleh Komuniti Penduduk Taman Megah Ria , dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Baharudin Mohamed Taib. Kehadiran penduduk pelbagai bangsa, agama dan latar belakang menyerlahkan semangat perpaduan dan patriotisme yang tinggi.
Baharudin memuji usaha komuniti berkenaan kerana berjaya menjadikan program itu sebagai platform mengukuhkan kerjasama rakyat.
“Semangat muhibah yang ditonjolkan ini adalah wajah sebenar Malaysia. Ia wajar dijadikan contoh kerana perpaduan akar umbi merupakan jambatan keharmonian negara,” katanya.
Pelbagai aktiviti dianjurkan termasuk gotong-royong memasak bubur lambuk, pertandingan mewarna kanak-kanak, hiasan kraf payung serta inisiatif Ziarah Kasih Merdeka yang menyantuni 10 penduduk uzur. Suasana lebih bermakna apabila gelagat kanak-kanak pelbagai kaum mewarnai keceriaan majlis.
Penganjuran ini adalah usaha menterjemah erti kemerdekaan melalui aktiviti kemasyarakatan yang menyatukan penduduk tanpa mengira kaum dan agama.
Program tersebut turut mendapat sokongan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Masai, Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin, serta sumbangan pengusaha tempatan.-SAHIH.