SEMAK SEMULA HAD JUMLAH MEDIA DI PARLIMEN
SEMAK SEMULA HAD JUMLAH MEDIA DI PARLIMEN
Anggota Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming menggesa Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun menyemak semula keputusan untuk menghadkan jumlah media yang membuat liputan bagi sidang Parlimen akan datang.
“Dewan Rakyat mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan hak orang awam untuk mendapat maklumat.
“Kepentingan awam menuntut sidang dibuat secara terbuka, telus, dan dengan kebertanggungjawaban terhadap rakyat.
“Keputusan oleh Speaker Dewan Rakyat untuk melarang banyak organisasi media daripada membuat liputan langsung boleh dianggap tidak menghormati Dewan dan ia perlu dihentikan,” katanya yang juga bekas timbalan speaker di Twitter semalam.
Dewan Rakyat akan bersidang bermula 2 November ini dengan agenda penting Belanjawan 2021, yang akan dibentang pada 6 November dan undian pada 23 November.
Ia boleh menentukan sama ada Muhyiddin Yassin memiliki majoriti sokongan atau tidak untuk terus menjadi perdana menteri.
Semalam, Pentadbir Parlimen Malaysia memutuskan hanya 15 organisasi media yang dibinarkan membuat liputan atas sebab bagi mengekang penularan COVID-19 dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.
Setiap media yang dibenarkan pula hanya boleh menghantar seorang wartawan, dan seorang jurugambar atau juruvideo. Mereka juga mesti menjalani ujian swab RT–PCR pada 30 Oktober dan mengemukakan keputusan ujian pada 2 November.
Tiada portal berita dalam talian, termasuk Malaysiakini, yang dibenarkan membuat liputan di Dewan Rakyat.
Azhar memohon maaf atas perkara itu dan menyifatkan ia satu keputusan sukar.
“Kita beroperasi dalam perintah kawalan pergerakan dan SOP Covid-19 yang benar-benar ketat. Kawasan wartawan hanya boleh menampung kira-kira 60 orang sementara ada 130 di kalangan anda,” katanya.
Sumber: Malaysiakini