SELEBRITI INSTAGRAM BANTU PENJENAYAH SIBER KOREA UTARA
SELEBRITI INSTAGRAM BANTU PENJENAYAH SIBER KOREA UTARA
WASHINGTON: Seorang selebriti media sosial Nigeria membantu penggodam Korea Utara menggubah wang dicuri dari sebuah bank di Malta, kata pegawai Amerika Syarikat (AS).
Ramon Olorunwa Abbas dikatakan membantu penipuan siber dilakukan tiga pengaturcara komputer yang dituduh memeras wang tunai dan mata wang kripto lebih AS$1.3bilion (RM5.25bilion), kata Jabatan Kehakiman AS Khamis lalu.
Abbas, yang lebih dikenali sebagai Hushpuppi, kini berada dalam tahanan AS sementara menunggu perbicaraan dan mempunyai 2.5 juta pengikut di Instagram di mana dia kerap menyiarkan gambar bersama kereta mewah dan menaiki jet peribadi.
Ketua Bahagian Keselamatan Nasional Jabatan Kehakiman AS, John Demers, berkata penggodam dari Korea Utara itu adalah perompak bank terkemuka di dunia.
Demers bertanggungjawab membongkar kes tiga pegawai perisikan tentera Korea Utara, Jon Chang-hyok, Kim Il dan Park Jin-hyok, yang terbabit dalam jenayah siber mencuri mata wang kripto dan wang tunai dari pelbagai bank serta sasaran lain.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Ketiga-tiga penjenayah itu terbabit dalam penggodaman Sony Pictures Entertainment Inc pada 2014 dan cubaan mencuri hampir AS$1bil (RM4 bilion) dari bank pusat Bangladesh pada 2016.
Menurut pendakwa raya AS, baru-baru ini, kumpulan itu beralih kepada pencurian mata wang kripto.
Penggodam itu juga kini beralih ke rangkaian selebriti media sosial termasuk Abbas untuk menggubah wang dari hasil rompakan siber dilakukan Korea Utara dari sebuah bank Malta yang tidak dikenali sejak Februari 2019.
Pegawai Jabatan Kehakiman AS mendakwa warga Nigeria itu dipercayai bekerja dengan seorang warga Kanada, Ghaleb Alaumary, bagi mencuci berjuta-juta wang yang dicuri.
Difahamkan, mereka melakukannya dengan menggodam mesin juruwang automatik, termasuk dari Bank Islami di Pakistan dan sebuah bank di India.
Abbas diekstradisi ke AS pada Julai tahun lalu dari Dubai, di mana dia kini menghadapi tuduhan jenayah kerana bersekongkol untuk mencuri ratusan juta dolar menerusi penipuan e-mel perniagaan dan kes penipuan lain.
Gal Pissetzky, bekas peguam Abbas, memberitahu majalah Forbes Julai 2020 bahawa Abbas sama sekali tidak bersalah atas tuduhan itu dan tidak mengambil bahagian dalam sebarang kes penipuan.
Bagaimanapun, Pissetzky dan peguam lain yang mewakili Abbas sudah berhenti membelanya sejak Januari lalu, lapor Agensi.
Pihak berkuasa AS mendakwa warga Nigeria itu adalah sebahagian daripada kumpulan yang didakwa menipu beberapa peguam dari sebuah firma guaman AS, yang kononnya dibayar hampir AS$923,000 (RM3.7 juta) pada Oktober 2019.
Abbas dan rakannya juga dituduh merancang mencuri £100 juta (RM504.87 juta) dari sebuah kelab bola sepak yang tidak dinamakan dalam Liga Perdana Inggeris.