Selamatkan nyanyian dan tarian Indung
Foto atas : Jariyah dan sebahagian anggota Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Jerantut (PKKDJ) cuba menari Tarian Indung di rumahnya di Kampung Bantal.
Selamatkan nyanyian dan tarian Indung
NYANYIAN dan Tarian Indung adalah satu bentuk kesenian atau budaya ekspresif yang terdapat di Ulu Tembeling yang semakin dilupakan sekiranya tidak diberi perhatian khusus dan diselamatkan demi menghargai khazanah seni Melayu dan negara.
Walaupun diberi nama Tarian Indung, sebenarnya adalah gabungan dua elemen seni, nyanyian dan tarian yang membentuk kepada satu lagi perlakuan sosial yang utama dan paling penting iaitu gotong royong yang memang kaya dalam kehidupan masyarakat Melayu.
Asalnya Tarian Indung adalah cara orang dahulu kala di kawasan Ulu Tembeling,Jerantut dan sekitarnya menggembelingkan hiburan kepada aktiviti kerja mereka, aktiviti kerja adalah lebih penting dari aktiviti-aktiviti yang lain.
Jariyah menunjukkan kuit atau keri
Sambil berkerja mereka akan menghiburkan diri dengan menyanyi dan berpantun, seperti biasa dengan cara diusik dan mengusik melalui berbalas-balas pantun dan secara tidak langsung kerja yang meletihkan itu tidak akan membosankan sebaliknya memberi keseronokan.
Nyanyian dan tarian Indung adalah bentuk hiburan yang hanya dilakukan oleh kaum wanita di Ulu Tembeling semasa mereka merumput di sawah atau padi huma.
Lagu-lagu yang dinyanyikan adalah berdasarkan menyentuh perasaan gembira, sedih, marah dan sebagainya serta turut mengaitkan dengan alam flora dan fauna setempat.
Tarian dimulakan oleh penyanyi utama yang berada di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh penyanyi-penyanyi lain dan lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi utama akan disambut sebagai korus atau ‘jong dondang’ oleh penyanyi-penyanyi lain sambil mereka menghayun ‘kiut-kiut’ mereka di hadapan penyanyi utama dan memulakan gerakan-gerakan tarian mereka mengelilingi penyanyi utama tadi di dalam sawah.
Pada akhir lagu penari-penari itu akan mencapai ‘kiut’ masing-masing dan dari posisi membongkok mengelilingi ‘pulau’ sawah membawa ‘kiut’ tersebut ke atas sambil bersorak atau loghat di sana dipanggil ‘bersuruk’ dan perlakuan ini dilakukan bagi setiap lagu yang dinyanyikan.
Terdapat 38 buah lagu yang dinyanyikan di dalam rangkaian Tarian Indung ini, jumlah itu adalah koleksi yang sempat dikumpulkan oleh sekumpulan penari-penari Tarian Indung yang ada ketika itu dikumpul secara lisan.
Sebahagian anggota PKKDJ dalam lawatan ke Kampung Bantal, Jerantut.
Menurut seorang bekas penggiat seni itu, mesra disapa Mak Jariyah Mat Petah, berusia 77 tahun berkata ketika itu masyarakat di Ulu Tembeling menanam padi atau ‘buat padi’ dan sering membersihkan kawasan tanaman padi daripada ditumbuhi rumput.
Katanya, oleh itu mereka kerap ke kawasan tanaman padi untuk merumput atau ‘merepeh’, sambil melakukan kerja itu, mereka akan bernyanyi dalam bentuk pantun dan menari secara bergilir-gilir.
Katanya, dia hanya dapat menyanyikan dua buah lagu yang diingatinya kerana sudah lama tidak mendendangkan lagu dan melakukan tarian tersebut kerana aktiviti menanam padi sudah tidak dilakukan di kawasan kampung itu di samping faktor usia.
Jariyah dan adiknya, Mahani Mat Petah, Faizah Mat Petah dan Aminah Mat Petah pada ketika itu sering bernyanyi dan menari Indung termasuk saudara mara, tapi kini sudah tidak melakukan nyanyian dan tarian kerana tanaman padi tidak dilakukan sekarang.
Nyanyian tersebut dengan senikata menggunakan loghat “Orang Ulu Tembeling” dan sebahagiannya sukar difahami oleh orang luar seperti perkataan bersorak (bersurok), bukit (bukut), buai (bua), remaja (maje), budak-budak (buduk-buduk) dan banyak lagi perkataan dengan loghat Ulu Tembeling.
Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Jerantut (PKKDJ) yang diketuai pengerusinya, Datuk Ridzuan Mansor telah mengadakan Program Jejak Seni Ulu Tembeling baru-baru ini sebagai satu inisiatif yang perlu dipuji sebagai satu langkah awal dan akan disusuli nanti.
“Berterima kasih juga kepada Mak Juriyah dan keluarga yang sudi menerima PKKDJ dengan memberi maklumat sambil bernyanyi dan menari beberapa lagu Tarian Indung yang diingatinya.
“Semoga, budaya Melayu tradisi yang ada di negara ini dapat diselamatkan agar tidak hilang atau mati ditelan zaman,” katanya.-SAHIH.