SELAMAT TINGGAL PAHANG
NWAKAEME KECEWA GAGAL BANTU TOK GAJAH
KUANTAN: Penyerang import Pahang dari Nigeria, Dickson Nwakaeme mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan Tok Gajah itu selepas tersingkir dari Piala Malaysia, malam tadi.
Menerusi akaun Twitter rasminya, Nwakaeme meminta maaf dan mengucapkan selamat tinggal kepada Pahang dalam ucapan yang sangat emosi.
AKAUN Twitter rasmi Dickson Nwakaeme
“Pertama sekali. Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tengku Muda Pahang serta kepada semua kerabat diraja Pahang.
“Juga kepada pihak pengurusan, staf kejurulatihan, para pemain dan penyokong Pahang.
LUAHAN penuh emosi pemain import Pahang yang turut dikenali sebagai Orang Besi
“Saya bertanggungjawab di atas kekalahan menentang Kedah. Apa sahaja yang anda mahu katakan kepada mana-mana pemain, tolong lontarkan kata-kata itu kepada saya.
“Ketika semuanya berjalan lancar dan anda semua menyanyikan nama saya dalam setiap perlawanan. Saya menikmatinya. Sekarang saya juga suka menikmati sebarang kritikan,” katanya.
Nwakaeme berkata, sebagai pemain beliau sudah memberikan segalanya tetapi tidak bernasib baik untuk menang dengan pasukan yang lebih bagus.
TIADA lagi kelibat Nwakaeme bersama Pahang musim depan
“Saya selalu memberikan yang terbaik setiap kali saya memakai jersi Pahang.
“Tetapi kadang-kadang yang terbaik sahaja tidak mencukupi. Lebih menyedihkan lagi kerana ini adalah perlawanan terakhir saya sebagai pemain Pahang.
“Saya tidak mahu ia berakhir dengan cara ini. Dengan rasa kasih sayang dan rasa hormat untuk anda semua. Anak lelaki anda DN10 aka orang besi. Sekali bergelar Pahang selamanya kekal Pahang,” katanya.