SEKTOR PERUNCITAN MASIH ADA POTENSI
SEKTOR PERUNCITAN MASIH ADA POTENSI
KUANTAN: Perkembangan ekonomi dunia dan tempatan ketika ini yang agak lembab tidak terlalu menjejaskan sektor peruncitan secara keseluruhan.
Setiausaha Koperasi Makmur Berhad (Ko-Makmur), Khairul Azam Awang berkata, sektor peruncitan kekal sebagai antara sektor utama yang masih mempunyai hubungan rapat dengan pengguna.
“Kita melihat sektor ini bukan sahaja masih mampu bertahan, tapi turut berpotensi untuk berkembang secara perlahan tapi konsisten.
“Bagi memastikan pengguna terus mempunyai pilihan untuk berbelanja, Ko-Makmur menyediakan pilihan itu dengan menawarkan pilihan produk pada harga kompetatif dan berkualiti,” katanya.
KAKITANGAN MG COOP MART MENGAGIHKAN AYAM PERCUMA KEPADA ORANG RAMAI SEMPENA PEMBUKAAN PASAR RAYA MG COOP MART CAWANGAN INDERA MAHKOTA
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian pasar raya MG Coop Mart di Indera Mahkota, dekat sini, pagi tadi.
Turut hadir Pengurus Besar MG Coop Mart, Azlisham Muhamad.
Pasar raya itu adalah cawangan kedua milik MG Coop Mart selepas pembukaan cawangan pertama di Indera Sempurna, tahun lalu.
Sempena pembukaan cawangan itu juga, pihak Ko-Makmur mengagihkan 500 ayam proses percuma kepada pelanggan mereka.
Sementara itu ketika ditanya mengenai perancangan jangka panjang Ko-Makmur dalam sektor peruncitan, Khairul Azam berkata pihaknya sedang mengenalpasti 10 lokasi bersesuaian di sekitar daerah Kuantan untuk membuka cawangan baharu pasar raya MG Coop Mart.
“InsyaAllah, menjelang hujung tahun ini, kita akan mempunyai 10 cawangan (pasar raya) MG Coop Mart di Kuantan.
“Selain itu, kita juga merancang membuka sekurang-kurangnya 300 pasar raya MG Coop Mart di seluruh negara dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.