Sekolah di pedalaman sasar 5 terbaik kejohanan golf MSSP 2023
Sekolah di pedalaman sasar 5 terbaik kejohanan golf MSSP 2023
Foto atas : Barisan pemain golf SKUT yang bakal menggegarkan arena permainan golf MSS Pahang 2023.
Sekolah Kebangsaan Ulu Tembeling (SKUT), Kampung Bantal, Jerantut mensasarkan lima pemain golf sekolah itu berada di ranking lima terbaik sukan golf dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Pahang (MSSP) tahun 2023.
Guru Besar SKUT, Abd Manaf Mat berkata, kedudukan sekolah kecil dan terpencil di pedalaman yang terletak hampir 120 kilometer dari bandar Jerantut dan hanya mempunyai 87 murid bukan bererti terus tercicir dalam pelbagai bidang.
Katanya, sebagai pentadbir perlu kreatif dan berfikiran terbuka untuk ‘membandarkan minda’ murid walaupun berada di pedalaman.
“Sekolah perlu memberi pendedahan kepada murid dengan jenis sukan yang selain dari kebiasaan serta disokong dengan kemudahan dan kemahiran asas yang dimiliki oleh guru yang bertindak sebagai jurulatih sukan ini kepada murid.
“Kita miliki kemudahan padang biasa yang luas menghijau cantik dan boleh dijadikan lapangan latihan serta seorang guru yang boleh bermain golf sebagai langkah awal membentuk kebolehan dan bakat murid sekolah ini,” katanya.
Katanya, selain itu, di zaman serba canggih ini, pendedahan secara visual boleh diperolehi dengan mudah melalui laman sosial Youtube untuk memperkenalkan pemainan golf kepada murid yang telah dikenalpasti memiliki bakat untuk bermain permainan yang dianggap berprestij.
“Cikgu Amiruddin Ahmad bertindak sebagai jurulatih memberi kemahiran asas permainan kepada murid dan melakukan latihan di padang sekolah.
“Manakala, peralatan bermain golf hanya menggunakan alatan Cikgu Amiruddin sebelum memikirkan dan mencari dana untuk membeli set golf yang baharu untuk digunakan oleh murid sekolah ini,” katanya.
Katanya, sebagai pentadbir perlu berani membawa perubahan dan jangan terlalu stereotaip dan bersifat statik.
Guru yang bertindak sebagai jurulatih, Amirudin Ahmad berkata, pada mulanya dia berlatih bermain golf berseorangan di padang sekolah itu untuk mengisi masa lapang dan beriadah di waktu petang.
“Datang beberapa murid yang banyak bertanya berkaitan dengan permainan itu dan ingin mencuba setelah melihat saya bermain beberapa hari.
“Oleh kerana mereka mempunyai perasaan ingin tahu, saya menerangkan beberapa perkara ringkas dan memberi mereka peluang mencuba,” katanya.
Katanya, disebabkan setiap kali saya turun ke padang, murid yang sama akan berada di tepi padang memerhati saya menghayun kayu golf.
“Saya memberi mereka peluang untuk ‘menghayun’ dan terkejut mereka memiliki bakat yang boleh diasah dan diasuh.
“Saya maklumkan kepada guru besar dan dipersetujui untuk melatih mereka serta turut disokong ibu bapa murid berkenaan,” katanya.
Katanya, pada peringkat ini mereka menggunakan alatan permainannya dan akan cuba berusaha mencari dana membeli set golf yang baharu untuk kegunaan murid berkenaan.
“Saya cuba usahakan bersama pentadbir untuk mendapatkan dana untuk membeli beberapa set peralatan permainan golf untuk kegunaan murid yang dianggarkan RM5,000 tidak termasuk kasut yang sesuai dan sarung tangan untuk pemain golf dan pakaian.
“Sasaran SKUT menjadikan murid sekolah ini lima terbaik dalam kejohanan MSSP pada tahun 2023,” katanya.-SAHIH.