SEKOLAH BUKA 20 JANUARI 2021
Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) lega dan berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menyusun semula takwin bagi Tahun 2021 untuk memberi kelegaan kepada ibubapa, murid dan guru untuk menghadapi sesi persekolahan dengan lebih tersusun.
Presidennya, Jasni Md Kechik, berkata penyusunan semula itu mendapat persetujuan bersama dengan beberapa kesatuan guru termasuk dari Sabah dan Sarawak, Majlis Guru Besar serta Majlis Pengetua bersama Sektor Operasi Sekolah KPM, baru-baru ini.
“Penggal pertama persekolahan sesi 2021 bagi sekolah di seluruh negara ditetapkan pada Rabu, 20 Januari 2021 dan bermakna cuti persekolahan bagi 2020 akan diteruskan sehingga tarikh tersebut.
“Disebabkan cuti pada akhir tahun dilewatkan dan disingkatkan turut memberi kesan untuk pihak sekolah merangka takwin tahun 2021, oleh itu pembukaan sesi persekolah baharu yang dilewatkan membolehkan semua pihak dapat menyusun semula takwin persekolahan,” katanya.
Katanya, cuti akhir tahun 2020 disingkatkan bagi mencukupkan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid yang terencat disebabkan kesan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia dan perintah kawalan Pergerakan bermula pada 18 Mac lalu.
“Sektor pendidikan turut terkesan dan sesi persekolahan tidak boleh diselesaikan dalam tempoh singkat dengan tambahan waktu belajar sehingga pertengahan akhir tahun memberi peluang kepada murid bersedia khususnya yang menduduki peperiksaan awam.
“Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Jidin telah mengumumkan perkara ini dan semua peringkat di KPM, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah seharusnya bersiap sedia dengan takwin baharu 2021,”katanya