SEJARAH NAMA JANDA BAIK
SEJARAH NAMA JANDA BAIK
Terletak di kaki Banjaran Titiwangsa, Kampung Janda Baik di Bentong bukan sekadar destinasi pelancongan alam semula jadi, malah menyimpan sebuah kisah lama yang menjadi asas kepada namanya yang unik. Di sebalik kehijauan hutan dan aliran sungai yang mendamaikan, terselit sebuah cerita tentang cinta, kesetiaan dan penebusan, yang akhirnya mengabadikan nama Janda Baik dalam lipatan sejarah tempatan.
Kampung Janda Baik di Bentong, Pahang, mula diteroka pada 1932 oleh tiga individu yang datang dari sekitar Bentong iaitu Yaseh Daun, Kadir Hitam dan Idris Awang. Mereka berasal dari Kampung Ketari dan Kampung Benus, dan membuka penempatan awal di kawasan yang kini dikenali sebagai Janda Baik.
Sejak awal pembukaannya, kawasan itu turut didiami oleh masyarakat Orang Asli daripada suku kaum Temuan. Ketika itu, penempatan Orang Asli diketuai oleh seorang Tok Batin bernama Emok, yang memainkan peranan penting dalam sejarah awal kampung berkenaan.
Sejarah nama Janda Baik mempunyai beberapa versi, namun antara yang paling terkenal adalah berkaitan kisah Tok Batin Emok. Dikisahkan, Tok Batin Emok yang telah berkahwin telah terpikat dengan seorang anak dara daripada suku kaum Orang Asli lain yang mendiami kawasan Hulu Kenaboi di Negeri Sembilan, yang boleh diakses melalui laluan hutan dari Kampung Janda Baik.
Akibat terlalu mencintai wanita tersebut, Tok Batin Emok menceraikan isterinya yang bernama Endut, sebelum berpindah ke Hulu Kenaboi untuk tinggal bersama isteri baharunya. Sementara itu, Endut terus menetap di kampung asal.
Namun, kehidupan Tok Batin Emok bersama isteri mudanya tidak berkekalan. Dia yang pada asalnya berada menjadi jatuh miskin akibat terlalu menuruti kehendak isterinya. Keadaan itu menyebabkan isterinya melarikan diri ke Jelebu, sekali gus meninggalkannya dalam keadaan serba kekurangan.
Susulan itu, Tok Batin Emok pulang semula ke kampung asal. Dia mendapati bekas isterinya, Endut, masih setia menunggu dan bersedia menerimanya kembali. Mereka kemudiannya bersatu semula sebagai suami isteri dan menjalani kehidupan bersama dengan lebih bahagia.
Peristiwa itu menjadi asal-usul kepada nama ‘Janda Balik’, yang merujuk kepada Endut yang ‘berbalik’ kepada Tok Batin Emok. Dari masa ke masa, sebutan ‘Janda Balik’ yang diulang dengan pantas telah berubah secara lisan menjadi ‘Janda Baik’, sehingga nama itu kekal digunakan sehingga hari ini.
Pada 1934, Pegawai Daerah Bentong ketika itu, Orang Kaya Shahbandar Datuk Hussain — yang juga merupakan datuk kepada Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak — telah mencadangkan agar kampung tersebut diwartakan secara rasmi.
Bagi tujuan itu, penduduk kampung telah bermesyuarat dan mencadangkan tiga nama untuk dipilih iaitu Kampung Tiga Haji, Kampung Hulu Benus dan Kampung Janda Balik.
Nama Kampung Tiga Haji dicadangkan sempena tiga individu yang membuka kampung berkenaan. Kampung Hulu Benus pula dicadangkan berdasarkan kedudukan geografi Janda Baik yang terletak di bahagian hulu kepada Kampung Benus Ulu dan Kampung Benus Hilir. Manakala nama Kampung Janda Balik diambil berdasarkan kisah Endut dan Tok Batin Emok.
Hasil persetujuan bersama, nama Kampung Janda Balik dipilih sebagai nama rasmi. Bagaimanapun, nama itu kemudiannya diubah suai dari segi sebutan dan ejaan, lalu dikenali sebagai Kampung Janda Baik sehingga kini.-SAHIH
Gambar: Penduduk bergambar di atas pelantar masjid pertama di kampung itu pada 1933.
