SEGERA KE FASILITI KESIHATAN JIKA ADA TANDA BERGEJALA
SEGERA KE FASILITI KESIHATAN JIKA ADA TANDA BERGEJALA
KUANTAN: Rakyat Pahang disaran bertindak pantas dan segera ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk membuat ujian saringan pengesanan Covid-19 sekiranya mempunya tanda-tanda bergejala.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Bahari Che Awang Ngah berkata, tren wabak ini menunjukkan peningkatan kes bergejala hampir sekali ganda berbanding sebelum ini.
“Kes bergejala ini berpotensi untuk menjangkiti lebih ramai orang disebabkan kadar keberjangkitan yang tinggi terutamanya jika kes lambat dikesan dan dikuarantin.
“Peningkatan kes juga dicatakan konsisten bermula daripada pertengahan bulan Mac lalu sehingga sekarang khusunya daerah Kuantan,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini hari ini.
Sehingga 27 Mei 2021, terdapat 8,649 kes di Pahang di mana 1,002 kes Covid-19 dilaporkan di Kuantan sahaja.
Pada awal Mac lalu, kurang daripada 10 kes sehari dilaporkan namun telah meningkat kepada purata 80 sehingga 100 kes sehari bermula 14 Mei lalu (hari raya kedua).
Dr Bahari turut menjelaskan, kebanyakan kes berpunca daripada kluster aktif sedia ada di daerah Kuantan serta kontak rapat kes.
“Hampir semua lokaliti di daerah Kuantan mempunyai kes aktif sehingga menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terpaksa dilaksanakan bagi membendung penularan jangkitan sebelum ianya menjadi tidak terkawal.
“Namun begitu, bilangan pesakit di hospital telah pun meningkat lima kali ganda dalam tempoh satu bulan dan pihak kami terpaksa menambah prasarana serta melakukan mobilisasi kakitangan bagi merawat bilangan pesakit yang kian meningkat.
“Jika keadaan ini berterusan, dibimbangi kakitangan kesihatan sedia ada tidak cukup untuk memberikan perkhidmatan kepada pesakit-pesakit tersebut,” katanya.
Sementara itu, katanya, rakyat perlu mengambil perhatian serius berhubung peningkatan wabak pendemik ini khususnya daerah Kuantan.
“Saya yakin pelaksanaan PKPD ini akan berjaya mengurangkan kes jika semua anggota masyarakat mematuhi arahan kawalan pergerakan.
“Semua penduduk perlulah menghadkan pergerakan melainkan jika perlu. Amalkan kuarantin kendiri.
“Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dapat mengurangkan jumlah kes seterusnya PKPD akan dapat ditamatkan seperti yang dirancang,” katanya.-SAHIH