SEGERA BERI VAKSIN KEPADA RAKYAT MALAYSIA
SEGERA BERI VAKSIN KEPADA RAKYAT MALAYSIA
KUALA LUMPUR: Presiden Dewan Perniagaan Bumiputra FELDA (DPBF) mahu suntikan vaksinasi segera diberi kepada rakyat agar dapat menurunkan graf jangkitan Covid-19 walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh Fasa 1 yang bermula pada 1 Jun hingga 14 Jun semakin menakutkan.
Presidennya, Mohd Mokhtar Ghazali berkata, walaupun baharu 3 hari, sejak 1 Jun, kes baharu masih tinggi dan membimbangkan, pada 1 Jun kes baharu 7,105; 2 Jun (7,703) dan hari ini 8,209 kes baharu.
Katanya, kaedah PKP satu pendekatan yang terbaik tetapi kekerapan perintah kawalan pergerakan diadakan mengakibatkan ada rakyat yang hilang punca pendapatan untuk menyara keluarga.
“Pemberian vaksin kepada ‘frontliner’ sudah diberi, seharusnya perlu tumpuan kepada mereka yang mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk menyebar wabak seperti pekerja pasaraya, penjaja kecil, pemandu teksi dan e-hailing serta bidang perkhidmatan perlu (essential services) yang dibenarkan beroperasi.
“Kumpulan ini kerap berdepan dengan orang ramai sekaligus akan menyebabkan wabak tersebar dengan kadar sangat cepat sekiranya mereka dijangkiti dan berlaku penyebaran wabak kepada orang lain juga tinggi,” katanya.
Katanya, sehubungan itu, penularan daripada warga asing yang berada dalam negara sangat diragui, mereka perlu diberi vaksin dan tiada yang dikecualikan. Vaksin tersebut berbayar kepada kerajaan Malaysia.
“Sekiranya mereka gagal mengambil vaksin, permit kerja mereka tidak disambung dan tidak dibenarkan berada di Malaysia dan wajar dihantar balik ke negara asal mereka.
“Pemberian vaksinasi seharusnya dipercepatkan dengan bantuan daripada badan tertentu untuk membantu frontliner. Kesedaran terhadap pentingnya vaksinasi harus disebarkan kepada masyarakat terutamanya yang berumur kerana terdapat segelintir daripada menolak vaksin kerana salah fahaman yang disebarkan,” katanya kepada SAHIH.
Katanya, kes baharu hari ini 8209 sangat membimbangkan. Kes kematian semakin meningkat. Untuk memastikan lockdown betul-betul berjaya, tidak seharusnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan begitu banyak sektor beroperasi.
“Kita tidak mahu berlakunya lagi PKP 4, 5 dan 6. Mohon pertimbangkan semula kerana kita baru hari ke 3 total lockdown, mohon semua patuh prosedur operasi standard (SOP).
“Umum mengetahui penjaja kecil, pekebun,,petani dan buruh am mereka hanya bergantung kepada pendapatan harian. Lockdown amat memberi kesan dan tekanan buat mereka,” katanya.
Katanya, sehubungan dengan itu, mohon kerajaan membuat kajian ke atas kelonggaran buat golongan tersebut dengan SOP yang sewajarnya. Mereka bukan seperti kakitangan kerajaan atau swasta yang menerima gaji setiap bulan.
“Semoga kita semua dilindungi oleh Allah SWT, kita semua bersatu hati dalam menangani kesan Covid-19 ini. Tidak kira kaum, agama atau bangsa. Tujuan matlamat kita adalah ke arah membebaskan negara daripada Covid-19, memakmurkan rakyat dan keamanan negara,” katanya.-SAHIH.