SEEKOR AYAM SETIAP KELUARGA SAMBUT AIDIL ADHA
SEEKOR AYAM SETIAP KELUARGA SAMBUT AIDIL ADHA
JERANTUT: Jawatankuasa Bantuan Makanan Jalinan Ukhwah (food bank) Kampung Jerantut Feri menyumbang seekor ayam setiap keluarga untuk persediaan juadah menyambut sambutan Aidil Adha yang bakal disambut lusa.
Penyelaras program itu, Rozmizal Mat Lia berkata, sumbangan itu daripada kutipan belia tempatan, penduduk setempat, badan bukan kerajaan (NGO) dan penyumbang individu yang berhasrat memberi bantuan sambil bersedekah.
“Sumbangan yang diperolehi, kami belikan ayam siap proses yang didapati daripada pembekal ayam dengan harga ayam paling istimewa sambil menyumbang dan diedarkan kepada setiap keluarga di sini.
“Sebelum ini, bantuan makanan turut diberi kepada penduduk yang terkesan dan yang memerlukan termasuk lampin bayi pakai buang dan susu bayi akibat ancaman pandemik Covid-19,” katanya.
Katanya, jawatankuasa itu telah digerakkan kira-kira 3 minggu lalu dengan dana disumbangkan oleh golongan belia dan penduduk setempat kemudian baharu ada penyumbang individu lain yang prihatin.
Seorang penduduk di sini, Norjalalludin Mohd Daud (45) berkata, usaha yang dijalankan oleh penduduk di sini sangat baik untuk membantu golongan yang terkesan akibat wabak ini.
“Usaha membantu orang susah memang dituntut dalam agama agar semua merasa nikmat dan sentiasa bersyukur,”katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Azizan Abdul Latif berkata, jawatankuasa Jalinan Ukhwah telah menjalankan usaha yang baik untuk memberi sumbangan berbentuk bantuan makanan kepada penduduk setempat.
“Sumbangan kecil seekor ayam segar kepada setiap keluarga amat dihargai sebagai tanda semangat kekeluargaan dan saling membantu antara penduduk setempat,” katanya.
Jawatankuasa Jalinan Ukhwah Jerantut Feri, Mohd Nawawi Zulikifli berkata, asalnya kutipan bermula daripada golongan belia kampung di situ untuk membantu penduduk yang dikenal pasti sangat memerlukan bantuan bekalan makanan.
‘Selepas itu, terdapat Badan Bukan Kerajaan (NGO), orang perseorangan tempatan dan luar turut memberi sumbangan kepada jawatankuasa penyelaras “food bank” yang turut sama memberi sumbangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Jerantut.
“Hari ini jawatankuasa menyalurkan sumbangan kepada hampir 200 keluarga di kampung ini dan sekitar, seekor ayam setiap keluarga untuk persediaan juadah sambutan hari raya Aidil Adha,” katanya.-SAHIH.