SAYA TAK MASUK LAGI WAD , TAK LARI PUN ‘
‘SAYA TAK MASUK LAGI i WAD , TAK LARI PUN ‘
Kota Bharu: Seorang pesakit Covid-19 yang tular sejak pagi tadi selepas dikatakan lari dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) tampil menafikan perkara berkenaan.
Wanita dikenali sebagai Che Nurul Nabilah Shaari, 24, menjelaskan dia tidak pernah masuk ke hospital berkenaan sebagaimana maklumat yang ditularkan.
Beliau sebaliknya berkata, dia kini sedang menjalani kuarantin di rumah dan tidak bergaul dengan mana-mana individi lain.
“Untuk pemberitahuan semua, saya tidak lari daripada wad hospital kerana saya belum lagi masuk hospital.
“Saya kini menjalani kuarantin di rumah dan tidak bergaul dengan sesiapa. Saya juga sudah memaklumkan kepada pihak berkenaan tentang perkembangan saya.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku kerana telefon saya rosak menyebabkan saya tidak menerima sebarang maklumat,” katanya.
Beliau tampil menjelaskan perkara berkenaan menerusi aplikasi media sosial TikTok, hari ini.
Pada masa sama, Che Nurul Nabilah turut menyelar tindakan individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat mengatakan dia lari dari wad 8 hospital berkenaan, lapor BH ONLINE.
Beliau sempat berpesan kepada orang ramai supaya sentiasa berjaga-jaga, kerana pandemik Covid-19 sekarang membimbangkan.
Terdahulu, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) menafikan penyebaran maklumat yang tular kononnya seorang pesakit Covid-19 melarikan diri dari hospital berkenaan, di sini, hari ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, dakwaan berkenaan adalah tidak benar dan buat masa ini hasil semakan juga mendapati tidak ada kemasukan pesakit sepertimana maklumat yang tular itu di hospital berkenaan.
“Kita sudah membuat semakan, tiada pesakit berkenaan di wad terbabit sebagaimana maklumat yang tular hari ini,” katanya.