Satu maut dalam kemalangan libat 4 kenderaan
Satu maut dalam kemalangan libat 4 kenderaan
LIPIS – Satu maut dan empat kenderaan terbabit dalam kemalangan jalan raya di KM 18 , Jalan Lipis-Benta pada jam 7.39 pagi, hari ini.
Pemandu motokar Perodua Axia, Nik Mohd Yusri Raja Abdullah, berusia 27 tahun maut di tempat kejadian, manakala kakaknya berusia 32 tahun yang berada dalam kenderaan itu mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, kenderaan yang dipandu Nik Mohd Yusri yang datang dari arah bandar Lipis menghala ke Benta , tiba di lokasi telah cuba memotong kenderaan lain di hadapannya tetapi gagal.
“Akibat kegagalan memotong, motokar Perodua Axia itu melanggar tayar belakang Proton Saga yang datang dari arah bertentangan seterusnya turut membabitkan dua buah motokar jenis Proton Persona yang dari arah sama.
“Nik Mohd Yusri meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai mengalami kecederaan yang teruk pada bahagian dalaman badan, manakala penumpang Perodua Axia dan pemandu serta penumpang Proton Saga masih dalam rawatan di Hospital Lipis,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Katanya, lokasi kemalangan di kawasan jalan lurus, berturap, bahu jalan berturap dan terdapat garisan tengah berkembar sebagai pembahagi lorong dan jalan sibuk dengan kenderaan serta cuaca baik.
Mayat pemandu yang maut akan menjalani post-mortem pada jam 5.00 petang ini selepas mendapat keputusan ujian saringan Covid-19. Pemandu kenderaan lain tidak mengalami kecederaan.
Semua kenderaan mengalami kerosakan di bahagian hadapan, bumper depan pecah, cermin depan pecah, cermin sisi sebelah kanan pecah, fender sebelah kanan kemek. Motokar jenis Proton Saga tercabut roda belakang sebelah kanan.
Kejadian itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987, kenderaan akan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan kerosakan kemalangan.-SAHIH.