SASAR 150,000 SUNTIKAN VAKSIN FASA KE 3
SASAR 150,000 SUNTIKAN VAKSIN FASA KE 3
KUALA LUMPUR: Kerajaan mensasarkan untuk mencapai 150,000 suntikan vaksin sehari menjelang peringkat kemuncak pelaksanaan fasa ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata sasaran itu ditetapkan bagi mencapai imuniti kelompok, selari dengan jangkaan bagi menyelesaikan PICK menjelang akhir tahun ini.
Beliau yang juga Menteri Penyelaras PICK berkata, sasaran kadar suntikan itu antara lain mempamerkan kejayaan kerajaan memberi vaksin kepada 70 hingga 80 peratus penduduk di Malaysia.
“Peratusan berkenaan ketika ini dipercayai, walaupun belum ada maklumat dari negara lain, tetapi sasaran apabila capai 70 hingga 80 peratus, barulah (negara) capai imuniti kelompok.
“Imuniti kelompok tercipta apabila ramai orang menerima vaksin. Vaksin mengajar badan melawan virus COVID-19. Apabila seramai mungkin orang dalam negara di vaksin, maka virus tak boleh menjangkiti orang lain kerana sudah ramai ada sistem ketahan badan.
“Virus ini walaupun masih wujud tetapi ia tidak mudah untuk menjangkiti orang. Saya jangkakan sasaran ini di peringkat kemuncak iaitu pada fasa ketiga PICK kerana fasa pertama dan kedua hanya mensasarkan golongan tertentu,” katanya pada Program Bicara Naratif: Vaksin COVID-19 di RTM1, malam tadi.
Selain itu, Khairy berkata, bagi mengelak berlakunya masalah logistik, masyarakat tidak dibenarkan memilih jenis vaksin COVID-19.
Beliau berkata, setiap vaksin digunakan pada PICK didaftar dan diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) diuji selamat, berkesan dan boleh digunakan di negara ini.
Beliau berkata, rakyat juga dinasihat supaya tidak khuatir walaupun setiap vaksin COVID-19 mempunyai maklumat tahap keberkesanan berbeza.
Selain itu, katanya, semua vaksin COVID-19 dibeli atau ada perjanjian, melepasi tahap keberkesanan 50 peratus yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Sinovac walaupun tahap keberkesanan uji kaji di Brazil lebih 50 peratus, tetapi di Turki ia lebih 90 peratus. Ini disebabkan profil sukarelawan terbabit dalam uji kaji berkenaan.
“Di Brazil berbeza dengan ujian vaksin lain kerana mereka beri kepada barisan hadapan dan golongan ini berisiko tinggi dijangkiti COVID-19, tetapi untuk Sinovac ia berjaya melindungi mereka pada tahap 90 peratus daripada kesan terburuk COVID-19.
“Yang penting NPRA hanya luluskan apabila mereka berpuas hati vaksin berkenaan selamat, berkesan dan melepasi tahap ditetapkan WHO,” katanya.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, faktor sukar mengagihkan vaksin mengikut pilihan penerima muncul sebagai antara faktor menyebabkan orang ramai tidak dibenarkan memilih jenis vaksin.
“Vaksin akan sampai setiap minggu, kalau kita beri menu kepada orang ramai dan mereka buat pilihan agak sukar untuk kita agihkan berdasarkan pilihan penerima, selain setiap vaksin ada kaedah simpanan berbeza, lapor BH Online.
“Pfizer mesti disimpan dalam peti sejuk pada suhu -70°C dan perlu disimpan di pusat simpanan vaksin ditetapkan, manakala AstraZeneca boleh disimpan pada suhu lebih biasa dan mungkin akan dihantar ke lokasi tidak mempunyai kemudahan Penyejuk Suhu Ultra Rendah (ULTF).
“Cansino Biologics Inc dan Johnson & Johnson (J&J) yang satu dos mungkin diberi ke kawasan pedalaman serta warga asing supaya mereka tak perlu keluar dua kali. Inilah perancangan kerajaan,” katanya.