SANTUARI GAJAH AKAN DIBINA DI HUTAN SIMPAN TEKAM DI JERANTUT
SANTUARI GAJAH AKAN DIBINA DI HUTAN SIMPAN TEKAM DI JERANTUT
JERANTUT: Pelan perancangan menyekat gajah liar dari sekitar kawasan Hutan Simpan Tekam dan Tekai masuk ke kawasan ladang Felda, penempatan Felda dan perkampungan, kerajaan negeri akan membina pagar elektrik di koridor rayau haiwan itu tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, kerajaan negeri sedang merancang membuka Hutan Simpan Tekam untuk dijadikan penempatan atau santuari gajah dengan kos dianggarkan RM38 juta.
“Satu koridor gajah akan dikenalpasti untuk membina pagar elektrik di sekitar tiga kampung di Kuala Sat daripada diceroboh gajah liar.
“Kawasan itu, akan menjadi penempatan gajah liar dengan membuat ‘kepungan’ pagar elektrik untuk menyekat kemaraan gajah tersebut ke kawasan penempatan kampung berkenaan,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Gajah Liar Pahang, berharap pembinaan pagar elektrik yang akan dibina bagi memastikan penduduk berdekatan dengan kawasan rayau gajah terselamat daripada kemusnahan yang bakal dilakukan oleh haiwan itu.
“Gajah-gajah ini kerap berkeliaran di kawasan rayau di dalam daerah Jerantut sehingga ke Taman Negara, Hutan Simpai Tekai dan juga masuk ke kawasan ladang Felda dan kawasan kampung.
“Saya berterima kasih kepada penduduk di kawasan ini yang turut memberi kerjasama untuk memudahkan proses penangkapan gajah, terima kasih juga kepada PERHILITAN yang memberi tindak balas segera memastikan keselamatan semua pihak,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) berjaya mengawal pergerakan sekawan 12 ekor gajah liar daripada menceroboh kawasan ladang sawit di Felda Gelanggi Satu dan Tiga daripada memusnahkan tanaman dan masuk ke kawasan kampung di situ.
Pengarah PERHILITAN Pahang, Rozidan Md. Yasin berkata, kumpulan gajah berterusan berada berdekatan dengan Felda Gelanggi 1,2, 3 dan Tekam Utara kerana kawasan itu adalah antara kawasan rayau haiwan itu.
Katanya, gajah-gajah itu bergerak dalam radius 25 kilometer sehingga ke kawasan Hutan Simpan Tekai, Kuala Tahan.
“Gajah-gajah ini berpecah mengikut kumpulan antara 5 hingga 12 ekor dan kadang-kala menjadi kumpulan besar sehingga 30 ekor yang menjadi konflik kepada penduduk setempat.
“Pihak kami telah mula menangkap 2 ekor gajah pada 8 Ogos, kemudian pada 10 Ogos sebanyak 2 ekor lagi, kesemuanya gajah yang ditangkap adalah betina,” katanya ketika ditemui di kawasan ladang sawit Felda Gelanggi 3, hari ini.
Katanya, semua gajah yang ditangkap akan dipindahkan ke Taman Negeri Terengganu pada hari ini dan esuk, namun, anggota PERHILITAN masih memantau keadaan setempat sejak dua minggu lalu.
Operasi pemindahan gajah liar berkenaan bermula jam 9.30 pagi hari ini selesai tiga jam kemudian melibatkan seramai 18 orang anggota daripada Unit Tangakpan Gajah (UTG) dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang.-SAHIH.