SANGGUP ANAK MATI DARI PECAH CERMIN KERETA
Berita Global
SANGGUP ANAK MATI DARI PECAH CERMIN KERETA
LAS VEGAS: Seorang bapa sanggup membiarkan anaknya mati di dalam kereta hanya kerana tidak mahu memecahkan tingkap kereta yang baru dibeli.
Sidney Deal, 27, ditahan dan didakwa menyebabkan kematian anak perempuannya, Sayah Deal yang berusia setahun, selepas kanak-kanak itu terperangkap lebih sejam di dalam kereta yang berkunci, Isnin lalu.
Lelaki itu dikatakan tertinggal kunci di dalam kenderaan, tetapi enggan memecahkan cermin tingkap kerana tidak mahu membayar kos pembaikan.
Mahkamah Las Vegas pada Selasa dimaklumkan bahawa Sidney mendakwa menghidupkan pendingin hawa untuk anaknya sebelum itu, namun pihak berkuasa berpendapat Sayah kepanasan hingga pengsan dan maut di lokasi.
Las Vegas Sun melaporkan sebelum kejadian, Sidney bergaduh dengan teman wanitanya di apartmen mereka dan keluar bersama Sayah, sebelum kembali semula ke kediaman itu yang terletak berdekatan Owens Avenue.
Dia kemudian meninggalkan anaknya di dalam kereta dan menyambung perbalahan dengan wanita berkenaan sebelum menyedari anaknya terperangkap dalam kereta berkunci.
Sidney didakwa meminta bantuan polis peronda, tetapi enggan membenarkan cermin tingkap dipecahkan, sementara dia meminjam telefon polis berkenaan untuk menghubungi abangnya bagi meminta bantuan.
Dia juga menyuruh teman wanitanya menghubungi syarikat insurans untuk menghantar tukang kunci, tetapi tidak bersetuju dengan harga ditawarkan. Ketika itu Sayah yang tidak diletakkan di dalam tempat duduk kanak-kanak terbaring di lantai kereta.
Polis itu kemudian memecahkan cermin tingkap kenderaan dan menarik kanak-kanak keluar. Dia bagaimanapun sudah meninggal dunia.