Sang Riang Rai Penghuni Sambut Aidilfitri
Sang Riang Rai Penghuni Sambut Aidilfitri
BERA – Sudah menjadi tradisi setiap perayaan disambut dengan meriah di Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, dekat sini.
Ini termasuk sambutan Aidilfitri yang diadakan pada Sabtu lalu.
Pengerusi rumah kebajikan itu, Yap Yoke Moey berkata, penghuni beragama Islam dibawa ke masjid berhampiran bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri.
“Sebelum solat sunat Aidilfitri, kita turut membayar zakat fitrah untuk semua penghuni rumah kebajikan yang beragama Islam.
“Selepas selesai solat sunat Aidilfitri, penghuni rumah kebajikan itu sempat beramah mesra dengan orang ramai yang menunaikan solat di masjid itu,” katanya.
Yoke Moey berkata, sudah menjadi tradisi rumah kebajikan Sang Riang memastikan keharmonian kaum terpelihara dalam kalangan penghuni mereka.
Katanya, sambutan Aidilfitri diadakan di rumah kebajikan itu tetap meriah walaupun dalam keadaan sederhana.
“Kita juga mengambil peluang meraikan hari jadi penghuni yang kebetulan disambut ketika musim perayaan kali ini.
“Mereka menerima telur merah sebagai simbolik kepada sambutan hari jadi dan dihidangkan makanan yang enak oleh pihak pengurusan rumah kebajikan,” katanya.
tamat-SAHIH