Sang Riang Boleh Jadi Model Pusat Jagaan Warga Emas
Sang Riang Boleh Jadi Model Pusat Jagaan Warga Emas
BERA – Perkembangan pusat jagaan warga emas Sang Riang sejak awal penubuhan hingga kini adalah sesuatu yang membanggakan.
Pusat jagaan itu juga membuktikan semua penghuni tanpa mengira bangsa dan agama boleh duduk bersama dalam suasana harmoni.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, pemilihan Sang Riang sebagai lokasi sambutan Hari Harmoni Peringkat Pahang juga sangat bertepatan.
“Saya sebagai penduduk asal Triang menyaksikan sendiri transformasi pusat jagaan ini yang bermula pada skala kecil sehinggalah menjadi antara pusat jagaan paling berjaya di Pahang.
“Sang Riang bukan saja popular dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan menjadi pilihan ramai pihak yang berminat untuk melakukan kajian berkaitan cara menguruskan rumah kebajikan seumpama ini.
“Saya juga berterima kasih kepada semua pihak yang berterusan memberi sokongan dan bantuan kepada Sang Riang sejak dulu hingga sekarang,” katanya.
Dia berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Harmoni Peringkat Pahang di Sang Riang, dekat sini, hujung minggu lalu.
Majlis anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Pahang itu turut dihadiri pengarah JPNIN negeri, Amira Abdullah dan pengerusi Sang Riang, Yap Yoke Moey.
Sementara itu, Amira dalam ucapannya berkata, sambutan Hari Harmoni bertujuan memupuk rasa saling menghormati dan memahami budaya hidup dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
“Sikap saling memahami, menghormati orang lain yang berbeza dari segi bangsa dan budaya adalah sikap terpuji untuk mewujudkan satu masyarakat bertimbang rasa.
“Sudah pasti inilah hasrat kerajaan apabila Hari Harmoni diperkenalkan,” katanya.
Dalam pada itu, Yoke Moey pula memuji semua pihak yang terus memberi sokongan kepada Sang Riang.
“Tanpa sokongan pihak kerajaan Pahang, kerajaan Persekutuan, kakitangan hospital Temerloh dan klinik kesihatan daerah Bera, sudah tentu kami berdepan kesukaran untuk meneruskan operasi rumah kebajikan ini.
“Begitu juga bantuan pihak polis dan agensi lain, kami tidak mampu membalas semua bantuan diberikan oleh mereka atas khidmat diberikan dalam menjaga keselamatan penghuni Sang Riang selama ini,” katanya.-SAHIH