SAMBUTAN THAIPUSAM TIDAK DIBENARKAN
SAMBUTAN THAIPUSAM TIDAK DIBENARKAN
KUALA LUMPUR: Sambutan Thaipusam di kuil-kuil di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah tidak dibenarkan, kata Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
Menurut kenyataan kementerian itu, keputusan tersebut selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Januari lepas, berhubung pelaksanaan PKP dan PKPB yang bermula 13 Januari lalu hingga 26 Januari ini.
GAMBAR HIASAN
PKP yang diumumkan itu melibatkan enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah, manakala PKPB dikenakan terhadap enam negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan, lapor Bernama.
Pada 15 Januari lepas, Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKP di Sibu, Sarawak dan Kelantan yang berkuat kuasa 16 Januari hingga 29 Januari.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dalam kenyataan sama, berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menteri Kanan Pertahanan Bilangan 3 Tahun 2021 susulan perbincangan KPN dengan ketua-ketua agama Hindu, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.
Halimah berkata KPN juga mengambil maklum keputusan semua kerajaan negeri supaya tiada upacara Thaipusam di rumah-rumah ibadat di negeri masing-masing pada tahun ini kecuali kerajaan negeri Perlis.
KPN berkata mesyuarat teknikal juga bersetuju bahawa upacara Thaipusam boleh dilaksanakan di negeri-negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) iaitu Perlis dan Sarawak dengan kebenaran kerajaan negeri dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.
Setakat ini, hanya kerajaan negeri Perlis di bawah PKPP membenarkan upacara Thaipusam.