SAMBUTAN TAHUN BAHARU TIDAK DIBENARKAN
SAMBUTAN TAHUN BAHARU TIDAK DIBENARKAN: KEBENARAN RENTAS NEGERI AKAN DIPERTIMBANGKAN SEMULA
KUALA LUMPUR: Sambutan tahun baharu 2021 secara perhimpunan adalah tidak dibenarkan, kata Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Beliau berkata sambutan yang biasanya disambut secara besar-besaran itu boleh mewujudkan risiko penyebaran COVID-19 jika ia dianjurkan di mana-mana lokasi di negara ini.
MENTERI KANAN (PERTAHANAN), DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB/FACEBOOK
“Sambutan ada pelbagai cara, ada sambutan secara bersendirian, bersama keluarga di rumah dan sebagainya tetapi secara perhimpunan memang tidak dibenarkan kali ini.
“Ini kerana ia akan melibatkan perhimpunan yang penjarakan fizikalnya tidak dapat dikawal,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, dipetik dari BERNAMA.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata setakat ini, tiada cadangan untuk mewujudkan semula sekatan merentas negeri dan daerah seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
Beliau berkata keputusan mengenai perkara itu bergantung kepada pandangan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan ia hanya akan dilaksanakan apabila disarankan kementerian itu.
“Kita belum ada perbincangan yang terperinci. Kita akan dapatkan pandangan KKM dan keputusan akan dibuat selepas kita dapat pandangan nasihat mereka.
“Setakat ini, masih kekal seperti diumumkan iaitu perjalanan rentas negeri dan daerah masih dibenarkan,” katanya.