Sambutan Maal Hijrah Meriah di Felda Wilayah Jengka
Sambutan Maal Hijrah Meriah di Felda Wilayah Jengka
JENGKA – Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447H peringkat Felda Wilayah Jengka berlangsung penuh penghayatan dan meriah di Masjid Nurul Huda, Felda Jengka 19, malam tadi.
Program anjuran bersama Majlis Wilayah Jengka, Gabungan Masjid Felda Wilayah Jengka dan Masjid Nurul Huda itu menghimpunkan penduduk dari pelbagai rancangan Felda sekitar wilayah berkenaan bagi menghayati semangat hijrah Rasulullah SAW dalam membina masyarakat Islam yang sejahtera.
Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, penganjuran sambutan Maal Hijrah setiap tahun menjadi medium untuk memperkukuh nilai ukhuwah dan spiritual dalam kalangan warga Felda.
“Maal Hijrah bukan sekadar perayaan, tetapi pengingat tentang perjuangan Rasulullah SAW yang penuh ujian dan pengorbanan demi menegakkan agama Allah. Ini menjadi pedoman kepada kita dalam membina komuniti Felda yang beriman, bersatu dan progresif,” katanya ketika ditemui selepas majlis.
Majlis turut diserikan dengan persembahan selawat dan qasidah oleh pelajar tahfiz serta ceramah agama yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Hafizh Abu Bakar, dari Madrasah Darul Hadis, Kuantan.
Terdahulu, peserta dan jemaah yang hadir turut diberi taklimat khas mengenai tema Maal Hijrah tahun ini, selain menyertai sesi doa awal dan akhir tahun yang diketuai oleh imam masjid.
Menurut Razak, sambutan kali ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat, termasuk penyertaan aktif daripada golongan muda, yang menunjukkan minat tinggi terhadap program keagamaan dan kebajikan di peringkat wilayah.-SAHIH