Sambutan Hangat Rakyat Temerloh Semarakkan Kembara Pahang 1.0
Sambutan Hangat Rakyat Temeloh Semarakkan Kembara Pahang 1.0
TEMERLOH – Ribuan rakyat membanjiri lokasi kunjungan Diraja sempena Program Kembara Pahang 1.0 yang membuka tirainya hari ini dengan sambutan penuh meriah di daerah Maran dan Temerloh.
Program yang bertujuan menyantuni rakyat itu menyaksikan keberangkatan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menjelajah ke beberapa lokasi sambil beramah mesra dengan penduduk setempat.
Pelbagai acara menarik diadakan seperti kenduri rakyat, sukan rakyat, karnival masakan patin dan agihan kurniaan kepada asnaf, sekali gus memeriahkan suasana kembara yang turut mengukir senyuman di wajah rakyat.
Baginda Al-Sultan Abdullah melahirkan rasa terharu dengan sambutan luar biasa yang diberikan meskipun cuaca tidak menentu.
“Alhamdulillah, sambutan begitu baik. Saya amat berterima kasih kepada semua yang sanggup menunggu dalam panas dan hujan. Semangat begini sangat saya hargai dan harap diteruskan hingga akhir program ini,” titah baginda ketika ditemui di Dataran Temerloh.
Baginda turut menzahirkan hasrat untuk menjelajah kawasan yang belum pernah dilalui sepanjang program kembara ke empat daerah iaitu Maran, Temerloh, Bera dan Pekan.
“Saya hendak tengok kawasan yang saya tak pernah sampai, contohnya laluan di tepi sungai dan lihat sendiri keadaan jalan sama ada elok atau tidak,” titah baginda lagi.
Dalam pada itu, baginda turut menasihati penternak ikan patin di daerah ini agar menjaga keaslian dan kualiti ternakan demi mengekalkan reputasi Temerloh sebagai syurga patin tempatan.
“Jangan jual patin celup atau klon. Orang datang ke sini nak rasa yang asli. Rasanya lain kalau dari kolam atau sangkar. Kita kena jujur, jangan pendekkan rezeki orang lain. Biarlah mereka datang dan merasa patin tempatan sebenar,” titah baginda.
Difahamkan, terdapat usaha untuk memperkenalkan pensijilan khas bagi membezakan patin asli Temerloh dengan ikan patin dari luar, sekali gus membendung penipuan dan menjaga nama baik daerah ini sebagai pusat utama patin berkualiti di negara ini.
Program Kembara Pahang 1.0 akan diteruskan ke daerah Bera esok sebelum berakhir di Pekan.-SAHIH