SAMBUT THAIPUSAM SECARA SEDERHANA
Berita Nasional
Sambut Thaipusam secara sederhana – MMA
KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menasihatkan sambutan Thaipusam bagi tahun 2021 tidak diadakan secara besar-besaran seperti yang berlangsung saban tahun berikutan ancaman pandemik COVID-19.
Presidennya, Prof Datuk Dr M Subramaniam, berkata adalah mustahil untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan kehadiran ramai penganut Hindu dan orang ramai membanjiri kuil pada sambutan perayaan itu.
“Pastinya lebih satu juta orang dijangka akan menghadiri sambutan Thaipusam (di kuil Batu Caves) dan kawalan ke atas pengunjung seramai itu nampak mustahil dan ini boleh mengancam kesihatan serta keselamatan mereka terutamanya penganut Hindu yang hadir,” katanya.
Thaipusam jatuh pada 28 Januari tahun depan tetapi penganut Hindu akan membuat persiapan untuk membayar nazar mereka seawal tiga bulan sebelum tarikh berkenaan.
Di Malaysia, Thaipusam disambut secara besar-besaran di empat tempat iaitu di Kuil Sri Subramaniyar Swami di Batu Caves, Selangor; Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani di George Town, Pulau Pinang; Kuil Arul Subramaniar di Ipoh, Perak dan Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam di Sungai Petani, Kedah.
Dr Subramaniam berkata, pematuhan SOP seperti pemeriksaan suhu badan, catatan kehadiran dan penjarakan fizikal mungkin amat sukar untuk dipatuhi kerana jumlah pengunjung yang ramai.
Beliau turut menggesa jawatankuasa pengurusan kuil dan kerajaan supaya membuat pengumuman awal sebelum penganut Hindu memulakan persiapan membayar nazar mereka seperti membuat kavadi dan sebagainya, kira-kira tiga bulan sebelum perayaan itu.
Sementara itu, Presiden Hindu Sangam Malaysia, Datuk R S Mohan Shan berkata, sambutan Thaipusam tahun hadapan bergantung kepada situasi pandemik COVID-19 dan keputusan kerajaan.
Beliau meminta penganut Hindu menghormati keputusan sekiranya kerajaan tidak membenarkan sambutan Thaipusam diadakan secara besar-besaran.
“Ia membabitkan soal kesihatan dan nyawa, maka kita perlu membuat satu keputusan rasional,” katanya.
Mohan Shan berkata penganut Hindu masih boleh bersembahyang di rumah masing-masing dan menunaikan nazar pada tahun berikutnya.
Sumber: BERNAMA