Sambut Tahun Baharu Cina dalam suasana muhibah
Sambut Tahun Baharu Cina dalam suasana muhibah
JERANTUT – Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA Jerantut berlangsung meriah dalam suasana penuh keceriaan, muhibah dan semangat perpaduan berbilang kaum, malam tadi.
Majlis berkenaan diserikan dengan kehadiran Setiausaha Agung MCA merangkap Pengerusi MCA Pahang, Chong Sin Woon; Ketua MCA Bahagian Jerantut, Lau Lee; serta Ketua MIC Bahagian Jerantut, Thyagaraja A/L Krishnan.
Turut hadir barisan kepimpinan MCA Jerantut, Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut serta kepimpinan MIC Bahagian Jerantut, sekali gus mencerminkan kesepaduan dan kerjasama erat antara parti-parti komponen demi kepentingan rakyat.
Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah, berkata kepelbagaian kaum dan agama di negara ini menjadikan sambutan perayaan setiap kaum sebagai simbol penyatuan rakyat yang kukuh.
Menurutnya, penganjuran majlis seumpama itu bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat, malah memperkukuh semangat toleransi serta saling menghormati dalam kalangan rakyat berbilang bangsa.
“Semoga sambutan Tahun Baharu Cina ini terus menjadi wadah memperkukuh perpaduan, mempererat persefahaman dan menyemarakkan semangat kebersamaan agar kita dapat terus berganding bahu membangunkan Jerantut dan Negeri Pahang ke arah masa depan yang lebih sejahtera, makmur dan harmoni,” katanya.-SAHIH.
