Sambut baik pengumuman TPM bantu peneroka Felda
Sambut baik pengumuman TPM bantu peneroka Felda
JERANTUT – Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan bantuan khas bersasar RM300 buat peneroka Felda yang pendapatan kurang RM1,000 baru-baru ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengumumkan peneroka peneroka yang berpendapatan RM1,001 hingga RM2,000 pula akan mendapat penangguhan potongan hutang (tidak termasuk Kos Operasi Ladang) untuk hasil bulan Mac.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, peneroka menyambut baik pengumuman yang dimaklumkan baru-baru ini.
“Berterima kasih kepada TPM serta pihak Felda atas bantuan khas bersasar sebanyak RM 300, walaupun jumlah yang kecil tetapi sekurang-kurangnya memberi sedikit kelegaan kepada peneroka.
“Kami (peneroka) akur dengan keadaan kewangan semasa Felda dan sewajarnya semua sedia maklum,” katanya.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud (kiri) dan Ketua Peneroka Gelanggi Satu, Abdul Rahman Ghani (kanan).
Seorang lagi Ketua Peneroka Gelanggi Satu, Abdul Rahman Ghani berkata, bantuan ini sangat membantu kepada peneroka meringankan beban bagi menghadapi sambutan Aidilfitri pada tahun ini.
“Ketika ini, ramai peneroka berpendapatan bawah RM 1000, walaupun harga sawit agak tinggi, namun atas faktor musim buah melawas, hasil buah sawit tidak banyak.
“Begitu juga dengan yang pendapatan RM 1001-2000 memang ramai peneroka yang sedemikian dan tidak perlu dibuat potongan bayaran hutang, oleh itu memang wajar peneroka diberi bantuan tersebut,” katanya.-SAHIH.