SAMBUT BAIK ISMAIL SABRI SEBAGAI PERDANA MENTERI
SAMBUT BAIK ISMAIL SABRI SEBAGAI PERDANA MENTERI
JERANTUT: Pengumuman pelantikan perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob oleh Yang Di Pertuan Agong (YDPA) yang ditunggu-tunggu oleh seluruh lapisan rakyat Malaysia petang semalam disambut baik dengan senang hati.
Peletakan jawatan perdana menteri oleh Tan Sri Mahyiddin Yassin pada hari Isnin lalu menjadi tanda tanya dan teka-teki dengan dua pencalonan tokoh yang ditentukan oleh 220 ahli parlimen diumumkan selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu, petang semalam.
Pengerusi Badan Kebajikan dan Khairat Taman Inderapura (BAKKTI), Jerantut, Rahmat Yusof berkata, dengan pelantikan perdana menteri baharu maka tamatkan kemelut politik negara dalam keadaan negara menghadapi ancaman pandemik yang bahaya ini.
“Maka kerajaan baharu dapat memberi tumpuan khusus menangani pandemik dan ekonomi negara yang sangat membimbangkan, dengan kabinet baharu dengan menteri yang bertanggung jawab boleh menjalankan peranan yang diamanahkan untuk memacu ke arah yang lebih baik,”katanya.
Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud berkata, Datuk Seri Ismail Sabri yang telah dipekenankan oleh YDPA melantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9 sebagai langkah menyelamatkan negara ke arah perpecahan.
“Semoga beliau dapat menerajui negara dengan cemerlang dan gemilang sehingga di peringkat dunia dengan harapan dapat mentadbir negara dengan baik dan saksama serta memulihkan ekonomi negara serta rakyat.
“Agar beliau berjaya menangani isu wabak Covid-19 dengan baik dan terancang, tahniah atas pelantikan tersebut,” katanya.
Seorang penduduk di Jerantut Feri, dekat sini, Rozmizal Mat Lia berkata, pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai perdana menteri serta kabinet yang bakal dibentuk dapat menjalankan tugas dengan baik.
“Semua yang diamanahkan dapat menjalankan tugas dengan peranan masing-masing ke arah membawa negara cemerlang dengan ekonomi yang terbaik kerana keadaan sekarang agak merungsingkan disertaikan keadaan pandemik yang panjang,”katanya.-SAHIH.