Sambut baik 1,850 unit rumah terbengkalai dibaikpulih
Foto atas : Datuk Seri Wan Rosdy melancarkan Rumah Pahang Generasi Baharu, turut hadir Calon DUN Tahan (N09), Faezah Ishak (kiri sekali)
Golongan baharu Felda sambut baik 1,850 unit rumah terbengkalai dibaikpulih
JERANTUT – Generasi Kedua Felda menyambut baik kerajaan Pahang membina dan membaikpulih 1,850 unit rumah terbengkalai sejak 15 tahun lalu di 10 tapak projek perumahan tersebut di empat daerah.
Generasi kedua yang berada di Maran, Kuantan, Jerantut dan Rompin berpeluang memiliki rumah berharga RM120,000.
Seorang generasi kedua Felda Sungai Retang, Khairul Anuar Abdul Jalil (39) berkata, sudah lama dia menunggu untuk memiliki rumah sendiri dengan harga yang ditawarkan RM120,000.
“Saya dimaklumkan harga sebenar rumah seperti ini sekitar RM200,000 dengan kedudukan rumah yang berkelompok dan menarik serta mempunyai prasarana seperti rumah yang dibina di taman perumahan di bandar.
“Saya memang impikan rumah seperti ini demi keluarga saya kerana selama ini menumpang rumah di atas tanah di belakang rumah orang tua saya,” katanya.
Seorang lagi generasi kedua Felda Padang Piol, Sanah Derani (45) berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) yang meneruskan projek perumahan yang tertangguh.
“Walaupun melalui tapisan kelulusan pinjaman bank, diharapkan berjaya memiliki rumah mampu milik untuk tinggal sekeluarga dengan sempurna.
“Memiliki rumah sangat diperlukan untuk keluarga saya kerana selama ini saya menumpang di rumah orang tua saya,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Projek Rumah Pahang yang terbengkalai itu adalah hasrat kerajaan negeri untuk memastikan setiap rakyat khususnya generasi kedua memiliki kediaman sendiri.
“Kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk membangunkan semula projek yang terbengkalai sejak 15 tahun lepas dan dibina di atas tanah seluas 191.787 ekar di Maran, Jerantut, Kuantan dan Rompin.
“Rumah teres setingkat berkeluasan 800 kaki persegi yang dibina di atas tanah seluas 1,400 kaki persegi dijual pada harga RM120,000,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Rumah Pahang (Perumahan Generasi Kedua baharu Felda) di Tapak Projek Felda Sungai Retang, di sini.
Permohonan boleh dibuat melalui Lembaga Perumahan dan hartanah Pahang (LPHP) secara atas talian melalui eperumahan.pahang.gov.my.-SAHIH.