SAM GESA MFL KAJI SEMULA PERATURAN LIPUTAN MEDIA
SAM GESA MFL KAJI SEMULA PERATURAN LIPUTAN MEDIA
KUALA LUMPUR: Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) menggesa Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengkaji semula beberapa peraturan kepada media yang mahu membuat liputan Liga Malaysia (Liga M), bermula Jumaat ini.
Presidennya, Datuk Jasni Shafie berkata, pihaknya mendapati beberapa peraturan yang ditetapkan kurang tepat dan agak membebankan petugas media selain bakal meningkatkan lagi kos operasi dalam masa pandemik COVID-19.
“Peraturan mewajibkan media terutama wartawan dan jurugambar atau jurukamera untuk membuat ujian RTK Antigen pada setiap perlawanan akan menambahkan lagi kos operasi pihak petugas media dalam masa pandemik ini.
“Setiap kali ujian RTK Antigen anggaran kos RM100 sehingga RM150 perlu dibelanjakan oleh seorang petugas media, bayangkan kos perbelanjaan yang harus ditanggung pihak media pada setiap perlawanan dan di sepanjang musim.
“Bukan sekadar kos daripada segi wang ringgit, malah kekangan masa untuk melaksanakan proses ini juga harus dititik beratkan.
“SAM sedar MFL selaku pengendali liga bola sepak tempatan sekadar melaksanakan peraturan berdasarkan garis panduan oleh KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan MKN (Majlis Keselamatan Negara), tetapi pihak berwajib itu harus juga mengambil kira impak kewangan petugas media,” katanya satu kenyataan.
Selain itu, Jasni turut mempersoalkan larangan buat wartawan menemubual jurulatih ataupun pemain ketika latihan yang juga dilihat sebagai satu prosedur mengarut memandangkan ia sebenarnya boleh dilakukan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada.
“Kalau menteri boleh ditemubual dengan pematuhan SOP tertentu, kenapa ahli sukan tidak dibenarkan?,” soal Jasni.
Sehubungan itu, katanya, SAM akan meminta bantuan Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican untuk memanjangkan masalah ini kepada MKN dan KKM supaya satu keputusan lebih munasabah dapat di cari, lapor BH Online.
“Media sentiasa bersama untuk mengaktifkan semula aktiviti sukan melalui gelembung sukan yang dilaksanakan, tetapi kebebasan dan kemudahan kepada media juga harus dititikberatkan,” katanya.