SALIM DIHUKUM PENJARA SEUMUR HIDUP
SALIM DIHUKUM PENJARA SEUMUR HIDUP
LEIDSCHENDAM: Mahkamah antarabangsa menjatuhkan lima hukuman penjara seumur hidup kepada seorang pelarian Hizbullah semalam atas dakwaan membunuh bekas Perdana Menteri Lubnan, Rafiq Hariri dan 21 individu lain pada tahun 2005.
BEKAS PM LUBNAN, RAFIQ HARIRI
Tertuduh, Salim Ayyash, 57, yang dibicarakan secara absentia (tidak hadir), didapati bersalah membunuh dan melakukan keganasan pada 18 Ogos lalu oleh Tribunal Khas di Belanda menerusi serangan nekad yang meragut pemimpin itu serta mencederakan 226 yang lain.
Dalam kenyataan yang dipetik dari BH Online, ketika mengumumkan hukuman itu, Ketua Hakim David Re, berkata Salim terbabit dalam keganasan yang menyebabkan pembunuhan beramai-ramai.
“Mahkamah berpuas hati dan perlu mengenakan hukuman maksimum penjara seumur hidup untuk semua lima tuduhan jenayah dan hukuman akan berjalan serentak.
“Mahkamah itu turut mengeluarkan waran tangkap antarabangsa terhadap Salim atas jenayah yang sangat berat dilakukannya,” katanya.
Salim masih kekal sebagai pelarian dan Ketua gerakan Hizbullah Syiah, Hassan Nasrallah, enggan menyerahkannya, atau mengiktiraf mahkamah itu yang disokong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).