SAHABAT ALAM TAMPIK PELOPOR PELANCONGAN KOMUNITI
PSAT JANDA BAIK PELOPOR PELANCONGAN KOMUNITI
BENTONG : Persatuan Sahabat Alam Tampik (PSAT) Janda Baik muncul sebagai pelopor pelaksana pelancongan berasaskan komuniti yang pertama di Semenanjung dengan kerjasama agensi kerajaan.
Agensi yang terlibat ialah Pejabat Hutan Pahang, Perbadanan Pelancong Pahang dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) serta PSAT Janda Baik menggunakan kaedah dan modul pengurusan pelancongan setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri yang juga Pengerusi Tourism Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, modul pengoperasian yang diguna pakai turut melibatkan penduduk.
“Ini adalah cara terbaik untuk pengurusan dengan kutipan dilakukan oleh PSAT dan keuntungan dikongsi bersama dengan mempunyai satu sistem tempahan semua hotel dan resort di kawasan ini dikawal selia.
“Sistem ini mempunyai jadual yang tersusun dan berterusan khusus kepada pengusaha pelancongan dan Pejabat Hutan Pahang pula mengeluarkan sijil penyewaan Hutan Simpan Tampik, secara tidak langsung turut memberi pendapatan kepada kerajaan negeri,”katanya
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Persatuan Sahabat Alam Tampik Janda Baik (PSATJB) Dan Projek Eko Pelancongan Berasaskan Komuniti Kampung Janda Baik, Bentong di sini.
Katanya, kebanyakan kawasan Janda Baik adalah hak perseorangan dengan menggunakan modul sebagai pusat pengurusan setempat, dalam tempoh tiga bulan sahaja telah memberi pulangan hampir RM40,000.
“Keadaan COVID-19, kerajaan Pahang tetap meneruskan promosi menarik ramai pelancong domestik kerana negeri ini kaya dengan khazanah alam semula jadi , selain terdapat tempat warisan yang menarik di samping budaya dan makanan yang terkenal.
“Di samping itu, negeri Pahang khususnya Taman Negara berada di bawah zon hijau, kita cuba membuka kehadiran pengunjung dari tempat yang selamat berkunjung ke tempat menarik di Pahang,”katanya.
Hadir sama, Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar dan Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang (MOTAC), Datuk Idros Yahya.
“Kita akan berhubung dengan kerajaan Persekutuan untuk mengkaji semula notis penutupan Taman Negara yang mendapat bantahan pengusaha pelancongan di situ, sewajarnya hanya tidak membenarkan orang yang dari zon merah yang berkunjung ke Taman Negara,”katanya.