SABUN TERAPI UNTUK MANGSA BANJIR
SABUN TERAPI UNTUK MANGSA BANJIR
KUANTAN: Waktu senggang peguam Noor Jehan Abu Bakar pada waktu malam sejak 3 Januari lepas dihabiskan dengan bermain gliserin, pewangi, alat penimbang dan pelbagai acuan kecil bagi menghasilkan sabun untuk dihadiahkan kepada mangsa banjir di Pahang.
Setakat ini, Noor Jehan, 50, dengan bantuan anak perempuannya yang berusia 18 tahun telah menghasilkan lebih 10 kilogram sabun dalam pelbagai bentuk menarik seperti hati, kumbang, burung hantu, rama-rama dan kaktus bagi menarik minat kanak-kanak untuk kerap mencuci tangan.
“Banjir kali ini berlaku dalam keadaan kita sedang berperang dengan wabak COVID-19 menjadikan aspek kesihatan lebih kritikal untuk mereka di pusat pemindahan sementara (PPS) dan membasuh tangan dengan kerap adalah satu cara pencegahan daripada dijangkiti penyakit itu.
“Membuat sabun adalah minat dan terapi kepada saya. Jadi kemahiran ini seharusnya turut digunakan untuk membantu dan menceriakan mereka yang sedang diuji dengan musibah menerusi pemberian sabun yang diperbuat dengan penuh kasih sayang,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
ANTARA CORAK MENARIK PADA SABUN DIHASILKAN SENDIRI OLEH NOOR JEHAN YANG TURUT DIBANTU ANAKNYA BAGI DIAGIHKAN KEPADA PUSAT PEMINDAHAN SEMENTARA SEKITAR KUANTAN DAN PEKAN/TWITTER NOOR JEHAN ABU BAKAR
Selain mahu menerapkan kebiasaan membasuh tangan, Noor Jehan mengakui pengalamannya berdepan musibah banjir pada tahun 2013 juga menyebabkan beliau berasa sabun antara barangan keperluan yang penting untuk diberikan kepada mangsa banjir.
“Kami berpindah dalam keadaan tergesa-gesa kerana air naik mendadak. Semasa itu, apa yang bermain di fikiran ialah dokumen dan barangan penting serta pakaian serba sedikit kerana keutamaan ialah menyelamatkan anak-anak… pastinya sabun tidak terlintas di fikiran semasa itu,” katanya.
Noor Jehan berkata memandangkan proses pembuatan sabun mengambil masa berhari-hari, beliau memutuskan supaya sabun kepada mangsa banjir diperbuat daripada bahan asas iaitu gliserin dan susu kambing sebelum ditambah pewangi seperti lavender supaya sabun comel itu siap dalam tempoh empat jam.
Proses pembuatan itu, jika dimulakan sekitar 8 malam, membolehkan beliau mendapat antara 250 hingga 300 buku sabun, menjelang tengah malam.
Bagi mengelakkan pembaziran, Noor Jehan yang tinggal di Taman Guru di sini menetapkan supaya sabun itu bersaiz mini, yang boleh dihabiskan seorang individu dalam tempoh dua hari, selain tidak menggunakan sebarang pembungkus.
“Kita tahu kutipan sampah di PPS sudah cukup banyak ditambah pula dalam situasi COVID-19, semua makanan mangsa banjir dibungkus.
“Oleh itu, saya meletakkan semua sabun ini di dalam satu kotak besar yang boleh diagihkan terus kepada penerima.
“Saiz yang kecil juga bermaksud tiada sisa yang ditinggalkan selepas mereka dibenarkan pulang ke rumah berbanding sabun buku biasa yang lazimnya akan ditinggalkan di bilik mandi PPS kerana ramai tidak suka membawa pulang sabun basah,” katanya.
Noor Jehan berkata setakat ini, sabun kasih sayang itu telah dihantar ke beberapa PPS dengan pertolongan sukarelawan banjir termasuk di Kuantan, Pekan dan Maran termasuk di penempatan Orang Asli di negeri ini.