SABAH SOKONG DARURAT
SABAH SOKONG DARURAT
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyokong penuh keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat terhadap kawasan Parlimen Batu Sapi, Sabah bagi mengelak Pilihan Raya Kecil (PRK).
Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dalam satu kenyataan media hari ini, berkata pihaknya menyifatkan keputusan terbabit adalah satu keputusan bijak bagi melindungi rakyat Sabah daripada ancaman COVID-19.
“Keperluan untuk menghentikan penularan virus dan melindungi kesihatan rakyat adalah sangat penting,” katanya.
KETUA Menteri Sabah, Hajiji Noor
Menurut laporan Berita Harian, Hajiji turut memberi jaminan kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah COVID-19 sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi mengatasi wabak terbabit di Sabah.
Yang di-Pertuan Agong hari ini bersetuju, mengisytiharkan Proklamasi Darurat terhadap Parlimen Batu Sapi, Sabah, bagi mengelak pilihan raya kecil (PRK) sebagai langkah proaktif membendung penyebaran COVID-19.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Al-Sultan Abdullah berpuas hati dengan penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menasihati baginda berkenaan cadangan itu.
Dalam sesi berlangsung selama satu jam bermula dari jam 4 petang tadi, Perdana Menteri mempersembahkan nasihat beliau, susulan daripada keputusan mesyuarat Jemaah Menteri, berkenaan pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen (P.185) Batu Sapi, Sabah untuk ampun perkenan Seri Paduka Baginda.