Sabah benarkan semua destinasi, tapak pelancongan beroperasi
Sabah benarkan semua destinasi, tapak pelancongan beroperasi
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri kini membenarkan semua destinasi dan tapak pelancongan beroperasi bagi pelancong domestik untuk daerah yang sama atau secara gelembung perjalanan (travel bubble).
Bagaimanapun, kebenaran itu tertakluk kepada syarat pelancong, pengusaha pelancongan serta pekerja sudah menerima vaksin lengkap dan berstatus risiko rendah Covid-19 dalam aplikasi MySejahtera.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, itu antara kelonggaran yang dibenarkan dalam prosedur operasi standard (SOP) baharu yang dikemas kini hari ini.
“Seperti dinyatakan sebelum ini, operasi hotel dan penginapan dibenarkan bagi pelanggan dalam daerah yang sama dengan syarat pelanggan dan pekerja hotel atau homestay (inap desa) telah lengkap divaksin.
“Namun, penggunaan kemudahan penginapan seperti gimnasium, sauna, jakuzi dan bilik seminar masih tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setakat ini, Sabah satu-satunya negeri yang masih belum membenarkan aktiviti pelancongan biarpun berada pada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Hari ini Sabah mencatatkan 2,246 kes Covid-19 dengan 28 kematian dan satu kluster baharu iaitu kluster Sawit Perpaduan di Kinabatangan.
Kluster ini membabitkan pekerja ladang warga Indonesia berusia 34 tahun yang dikesan positif setelah menunjukkan gejala sejak 26 Ogos lalu.
Sehingga kini, 91 kes direkodkan bagi kluster ini membabaitkan kontak sosial, rakan sekerja dan tanggungan yang turut disahkan positif Covid-19, lapor utusan online
Masidi berkata, satu lokaliti akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu Kampung Kopungit dekat sini bermula 12 hingga 25 September.
Tambahan 2,246 kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes di Sabah sebanyak 169,983 kes dan bilangan keseluruhan kes sembuh seramai 144,289 orang.