Rumah PPRT terbakar, mangsa cuma dapat selamatkan pam racun dan mesin ‘chainsaw’
Foto atas : Anggota bomba melakukan pemadaman dalam kejadian kebakaran sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Betong, Jelai, malam tadi.
Rumah PPRT terbakar, mangsa cuma dapat selamatkan pam racun dan mesin ‘chainsaw’
LIPIS – Sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) rentung dalam kejadian pada jam 7.58 malam di Kampung Bukit Betong, Jelai dekat sini malam tadi.
Kejadian itu menggemparkan sebilangan penduduk yang baharu sahaja selesai menunaikan solat maghrib di masjid termasuk jiran berdekatan.
Ketua Balai Bomba Kuala Lipis, Haslizan Ramli berkata, seramai sebelas orang anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis serta bantuan BBP Sungai Koyan bersama dua buah jentera pemadam LFRT dan sebuah ambulans EMRS telah berkejar ke lokasi setelah menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai.
“Ketika tiba di lokasi, didapati sebuah rumah terbakar dan anggota bomba melakukan penugasan pemadaman dengan menggunakan dua aliran hos daripada tangki pam jentera.
“Kebakaran ini turut memusnahkan 100 peratus kediaman tersebut dan bagaimanapun penghuni kediaman ini selamat tanpa mengalami apa-apa kecederaan dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Haslizan, anggota bomba berjaya memadamkan api keseluruhannya dan seterusnya melakukan tugasan pemantauan keselamatan sebelum bergerak pulang ke BBP Kuala Lipis dan BBP Sungai Koyan.
“Punca kebakaran dan jumlah taksiran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Haslizan selanjutnya menasihatkan semua pemilik kediaman supaya memberikan tumpuan ketika memasak dan elakkan ke dapur sekiranya keadaan badan letih dan mengantuk.
“Keadaan dapur perlu bersih dan tanpa berminyak selain memastikan peralatan elektrik diperiksa dan ditutup selepas digunakan,”katanya.
Katanya, ibu bapa juga perlu mengawasi anak masing-masing ketika bermain bunga api sekiranya tanpa kawalan boleh mengundang kebakaran kediaman.-SAHIH.