Rumah Pengurus Felda Musnah Terbakar
Rumah Pengurus Felda Musnah Terbakar
JENGKA – Sebuah rumah kakitangan Felda di Felda Mawar Jengka 10 musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.26 petang itu, rumah separa kekal berkeluasan 40 x 60 kaki persegi yang didiami seorang pengurus Felda dilaporkan musnah 100 peratus, namun tiada mangsa yang cedera.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.26 petang sebelum tiba di lokasi kira-kira 12 minit kemudian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, rumah berkenaan sudah terbakar hampir keseluruhannya. Operasi diketuai oleh PBK II Mohd Tarmizi dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut.
“Kerja-kerja pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran hos sepanjang 300 kaki dengan pancutan nozzle dan air diambil dari tangki pam jentera serta pili bomba berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.28 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 6.16 petang.
Menurut Salahuddin , pemilik rumah tiada di kediaman ketika kejadian kerana sedang menghantar anak ke asrama sekolah.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud memaklumkan bahawa semua 35 buah masjid di wilayah itu diminta menjalankan kutipan derma kilat bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa.
Pengerusi Gabungan Persatuan Wanita (GPW) Wilayah Jengka, Zariah Harun turut mengumumkan bahawa 37 GPW di kawasan itu akan melancarkan kutipan derma kilat bagi tujuan yang sama.-SAHIH