RUMAH PANJANG TERBAKAR, 20 KELUARGA HILANG TEMPAT TINGGAL
RUMAH PANJANG TERBAKAR, 20 KELUARGA HILANG TEMPAT TINGGAL
KANOWIT: Sebanyak 20 keluarga hilang tempat berteduh selepas rumah panjang mereka di rumah panjang Tuai Rumah (TR) Unau Emol di Skim Penempatan Semula Nanga Jagau Ngemah Ulu, musnah dalam kebakaran, malam tadi.
Ketika kejadian kira-kira jam 9 malam, ada penghuni rumah panjang sedang berehat dan ada yang sudah tidur sebelum dikejutkan dengan asap tebal dari arah sebuah bilik.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit menerima panggilan berhubung kejadian dari ketua masyarakat di kawasan berkenaan pada jam 10.10 malam.
Bagaimanapun, katanya, pasukan BBP Kanowit hanya bergerak ke lokasi kejadian pada hari ini disebabkan kawasan terbabit yang terletak jauh di pedalaman dan perlu melalui jalan kawasan pembalakan.
“Ketika ini pasukan BBP Kanowit sedang dalam perjalanan menuju ke rumah panjang terbabit.
“Adalah difahamkan bahawa rumah panjang terbabit musnah sepenuhnya kerana tiada kemudahan memadam api di kawasan terbabit.
Gambar Hiasan
“Mujurlah kebakaran tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa kerana semua penghuninya berjaya menyelamatkan diri,” katanya.
Katanya, punca kebakaran serta anggaran kerugian yang dialami penduduk bagaimanapun masih dalam siasatan, lapor BH ONLINE.
Difahamkan, semua mangsa kini menetap di khemah yang didirikan berhampiran rumah panjang sementara menunggu bantuan susulan tiba.