RUMAH MUSNAH TERBAKAR SEBELUM RAYA
RUMAH MUSNAH TERBAKAR SEBELUM RAYA
MARAN – Sebuah rumah separuh kekal di Jalan Jengka 7, Maran musnah dalam kebakaran petang semalam, hanya dua hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.14 petang itu, rumah berkeluasan 40 kaki x 80 kaki itu terbakar hampir 80 peratus. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Komander operasi, PBK, Nor Dzaini bin Md Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum mengerahkan anggota dan jentera ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 31 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka.
Komander operasi lapor PPgB Mohd Zulkifli bin Mohd Zainal turut hadir di lokasi bagi meninjau keadaan dan membantu dalam operasi.
“Jentera tiba di lokasi pada jam 6.48 petang dan operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dengan satu nozle, satu aliran hos 100 kaki dengan satu nozle serta dua aliran hos salur bantu mula dari tangki pam jentera bomba. Kami juga menggunakan sumber air dari pili bomba berhampiran,” katanya.
Menurutnya, operasi turut dibantu BBP Maran yang menghantar enam anggota bersama satu jentera FRT ke lokasi kejadian.
Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 7.02 malam, namun kerja-kerja pemantauan masih diteruskan bagi memastikan tiada sisa kebakaran yang boleh mencetuskan api
Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian.
JBPM mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam penggunaan peralatan elektrik dan api terbuka, terutama menjelang musim perayaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.-SAHIH