Rumah kedai jadi mini makmal diserbu, dadah, aset RM10 juta dirampas
Rumah kedai jadi mini makmal diserbu, dadah, aset RM10 juta dirampas
Foto: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Razarudin Husain, menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPK Selangor. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM – Polis menumpaskan satu sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah jenis heroin dan pil ekstasi menerusi enam siri serbuan di sekitar Selangor, hasil penahanan 10 lelaki tempatan pada 22 Nov.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Razarudin Husain, berkata kegiatan sindiket yang aktif sejak enam bulan lalu itu berjaya dibongkar pihaknya, menerusi serbuan dijalankan serentak oleh JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, antara 12.10 tengah hari hingga 4.30 petang sekitar Gombak dan Puchong.
Menerusi serbuan itu pihaknya turut membongkar aktiviti pemprosesan dadah dipercayai jenis heroin, yang dijalankan di sebuah premis rumah kedai di sekitar kawasan Bukit Puchong, Puchong.
“Hasil serbuan di semua lokasi itu, pihak kami berjaya merampas sejumlah 19.7kg dadah heroin base, 43.1kg dadah heroin, 3.2kg pil ekstasi dan 110kg serbuk dadah MDMA dianggar bernilai RM8.09 juta,” katanya pada sidang media di IPK Selangor.
Hadir sama Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed.
Razarudin berkata, bekalan dadah itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.
Selain itu, katanya polis turut merampas dan menyita aset sindiket berkenaan termasuk pelbagai jenis kenderaan mewah, barang kemas serta tindakan pembekuan akaun bank serta wang tunai, bernilai lebih RM2.039 juta.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan lebih RM10 juta,” katanya.
Razarudin berkata, saringan awal pihaknya terhadap 10 suspek tersebut mendapati salah seorang daripadanya positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin dan lapan daripadanya mempunyai rekod lampau dadah serta jenayah.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek direman selama lima hingga 11 hari bermula 23 Nov.
SUMBER: Bernama