RUMAH CALON BEBAS DUN LABUK TERBAKAR
Berita Jenayah
RUMAH CALON BEBAS DUN LABUK TERBAKAR
BELURAN: Rumah calon BEBAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, musnah dalam kebakaran di sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beluran Rastam Keladi berkata rumah Abdul Rahman Kongkawang, yang juga penyandang kerusi DUN Labuk, di Kampung Muanad 3 di sini musnah dalam kejadian pada kira-kira jam 2.30 petang.
“Balai Bomba dan Penyelamat Beluran menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 2.35 petang tadi dan sepasukan bomba bergegas ke tempat kejadian, yang terletak kira-kira 8 kilometer dari balai.
“Kejadian melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal iaitu berstruktur kayu. Api berjaya dikawal daripada merebak sejam kemudian,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.![]()
Rastam berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.
-BERNAMA
