RUMAH AGAM UMPAMA ISTANA DI KUALA KRAU
RUMAH AGAM UMPAMA ISTANA DI KUALA KRAU
TEMPOH PEMBINAAN 8 TAHUN, 5 TINGKAT DAN MENGGUNAKAN TENAGA MAHIR DARI 4 NEGARA
SEBUAH rumah agam yang unik terletak di sebelah kanan jalan, Jalan Temerloh- Jerantut di Kuala Krau, jarak kira-kira 30 kilometer dari Plaza Tol Temerloh, sering kali menjadi bualan kepada pengguna laluan itu terutama yang pertama kali melihatnya.
Rumah bak istana itu dimiliki oleh Datuk Seri Dr Sheikh Nordin Sheikh Ahmad, iaitu anak jati Kuala Krau, Temerloh, dipetik dari BH Online.
Rumah yang dibina mengambil masa 8 tahun, setinggi 5 tingkat dibina oleh tenaga mahir dari Bangladesh, Indonesia, Uzbekistan dan warga tempatan.
Rumah agam Datuk Seri Sheikh itu dinamakan Dato’ Syeikh Residences, pengunjung akan disajikan dengan panorama Sungai Pahang dan Gunung Senyum yang terletak di bahagian belakang rumah itu apabila berada di atas bumbungnya.
Di tingkat paling bawah, terdapat sebuah bilik khas yang dijadikan surau kecil, lengkap dengan mihrab iaitu ceruk di bahagian dinding yang menunjukkan arah kiblat, sekali gus memudahkan pengunjung mengerjakan solat.
Datuk Seri Sheikh Nordin yang berdarah campuran Arab dan Cina itu membawa binaan rumah itu dengan konsep atau seni reka yang diilhamkan daripada beberapa bangunan yang terdapat di Asia Barat, Turki, China dan Uzbekistan.
Beliau yang pernah bekerja dan menetap di luar negara bercita-cita memiliki rumah seperti itu apabila pulang ke tanah air, maka timbul idea untuk mengabadikan keindahan seni bina bangunan yang terdapat di negara berkenaan direalisasikan kepada rumah agamnya itu.
Selain itu, keunikan rumah itu menggunakan mozaik dan batu marmar dari luar negara sebagai bahan asas hiasannya, malah kubah yang terdapat di bumbung rumah agam itu diilhamkan daripada bangunan atau masjid di Uzbekistan, Turki dan China.
Pengunjung yang berpeluang melawat ke dalam rumah agam itu, bakal kagum dengan setiap tingkat mempunyai rekaannya yang berbeza, begitu juga dengan warna mozaik dan batu marmar berlainan pada setiap sudut.
Bertambah unik, sebuah kubah yang di atasnya didirikan sebuah binaan seperti tengkolok atau tanjak untuk menyuntik elemen Raja Melayu pada rumah agam ini agar seni Melayu tidak ditelan zaman.
Senibina rumah itu sengaja dibiarkan kosong supaya ia menjadi koleksi dan tatapan umum khususnya kepada generasi muda betapa kayanya tamadun arkitek Islam dan senibina Melayu yang diadunkan dalam satu bumbung.