ROSMAH DIARAH BELA DIRI
ROSMAH DIARAH BELA DIRI
KUALA LUMPUR: Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor diarah membela diri atas tuduhan penyelewengan dana bagi projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie bagi ketiga-tiga kes tersebut.
GAMBAR HIASAN
“Pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh ke atas ketiga-tiga pertuduhan.”
“Dengan ini saya memanggil tertuduh untuk membela diri,” kata Zaini, lapor Malaysiakini.
Perbicaraan terhadap Rosmah, 69 melibatkan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.
Rasuah terbabit didakwa diterima menerusi bekas pegawai khasnya Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra; di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.
GAMBAR HIASAN
Perbicaraan yang bermula sejak 5 Februari 2020 itu mengemukakan 23 saksi sepanjang 33 hari sesi perbicaraan.
Terdahulu, Rosmah hadir di mahkamah pada pukul 9.20 pagi bersama suaminya.
Dia diwakili barisan peguam diketuai Jagjit Singh, sementara bekas hakim mahkamah tinggi Gopal Sri Ram mengetuai pihak pendakwaan.