RoS TOLAK DAFTAR PEJUANG
RoS TOLAK DAFTAR PEJUANG
KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menolak pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menerusi satu surat yang dikeluarkan pada Rabu.
Perkara tersebut disahkan peguam Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali, menurut laporan theedgemarkets.com hari ini.
Menurut Muhammad Rafique, pihaknya menerima surat tersebut pada jam 5.45 petang semalam.
Keputusan itu dibuat ketika permohonan semakan kehakiman bagi pendaftaran Pejuang sebagai sebuah parti politik dijadual diperdengar di Mahkamah Rayuan Kuasa-Kuasa Khas 2, pagi ini.
Susulan itu, parti tersebut mungkin akan memfailkan rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk mempertimbangkan semula keputusan itu.
“Dengan itu, semakan kehakiman yang dijadual hari ini hanya bersifat akademik kerana kami akan terpaksa membuat rayuan secara terus kepada Menteri Dalam Negeri dalam masa 30 hari selepas keputusan itu, menurut Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966,” Rafique dipetik berkata.
Pejuang ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad bersama lima lagi individu pada Ogos 2020.