RONALDO LANGGAR SEKATAN PERJALANAN
RONALDO LANGGAR SEKATAN PERJALANAN
ROM: Cristiano Ronaldo melanggar sekatan perjalanan COVID-19 dengan berkunjung ke sebuah resort pergunungan, menurut laporan media pada hari ini.
Ronaldo yang juga penyerang Juventus didakwa melakukan perjalanan ke Courmayeur, iaitu kira-kira 150 kilometer di barat laut dari markas kelab Serie A berkenaan, untuk sambutan ulang tahun kekasihnya, Georgina Rodriguez.
Juventus bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen ketika dihubungi AFP.
Rodriguez yang berusia 27 tahun pada Rabu lalu, menyiarkan video pasangan itu di atas kenderaan ski di Instagram.
Dia kemudian memadamnya, tetapi ia sudah diambil oleh beberapa laman berita Itali.
GAMBAR IHSAN AFP
Akhbar Gazzeta dello Sport mendakwa Ronaldo dan Rodriguez menghabiskan malam Selasa di sebuah hotel sebelum kembali ke Turin.
Mengikut peraturan COVID-19 Itali, pasangan itu sepatutnya tidak boleh meninggalkan bandar Turin.
Mereka berisiko didenda 400 euro (kira-kira RM1,963) setiap seorang.
Pemain bola sepak berusia 35 tahun itu pernah terbabit dalam kontroversi berkaitan COVID-19 sebelum ini.