Rompakan Guna ‘Nail Gun’ di Jengka 8, 3 Sekawan Dicekup!
Rompakan Guna ‘Nail Gun’ di Jengka 8, 3 Sekawan Dicekup!
MARAN – Tiga lelaki yang terlibat dalam kejadian samun berkawan tanpa senjata api di Felda Jengka 8 berjaya diberkas polis dalam tempoh kurang 15 jam selepas kejadian dilaporkan.
Kejadian berlaku pada 9 Mei lalu kira-kira jam 11.30 malam apabila seorang anggota polis menerima maklumat berhubung pecah rumah di alamat 151, Felda Jengka 8.
Suspek didapati melarikan kenderaan Proton Saga FLX, wang tunai serta barang kemas milik mangsa dengan kerugian keseluruhan dianggarkan RM16,000.
Bertindak segera, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Maran dengan bantuan D9 JSJ IPK Pahang melancarkan beberapa serbuan di Jerantut dan Bandar Jengka.
Dalam tangkapan pertama pada jam 12 tengah hari, dua suspek berumur 29 dan 51 tahun ditahan di sebuah rumah di Jerantut.
Kedua-duanya mempunyai rekod jenayah termasuk 13 kes dadah dan dua kes jenayah.
Manakala, suspek ketiga berumur 30 tahun diberkas pada jam 2.15 petang di Daerah Maran dan turut memiliki beberapa rekod lampau.
Polis turut merampas pelbagai barangan berkaitan kes termasuk seutas rantai, gelang tangan, wang tunai RM1,000, pakaian yang dipakai ketika kejadian, beberapa telefon bimbit, alat “nail gun” yang digunakan untuk menakutkan mangsa serta dua buah kenderaan — Perodua Kancil dan Proton Saga yang dijumpai di ladang kelapa sawit Jengka 8.
Semua suspek mengaku terlibat dan kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu dan menegaskan usaha membanteras jenayah akan diteruskan demi keselamatan masyarakat.