RM9 juta Inisiatif Makmur Pahang bantu kurang beban ibu bapa
RM9 juta Inisiatif Makmur Pahang bantu kurang beban ibu bapa
KUANTAN – Program Tunas Makmur dan Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) dilancarkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Januari lalu, bertujuan meringankan beban ibu bapa.
Menerusi program itu, murid dan pelajar yang layak akan menerima set peralatan persekolahan bernilai RM100.
Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM9 juta ringgit untuk inisiatif yang memberi manfaat kepada 90,000 pelajar seluruh Pahang.
Wan Rosdy ketika ditemui selepas meluangkan masa menyerahkan sumbangan IM Pahang kepada murid Sekolah Kebangsaan Janda Baik, dekat Bentong, berkata, sumbangan itu adalah sebahagian usaha kerajaan negeri membantu persekolahan anak-anak Pahang.
“Bagi yang menerima sumbangan ini, mereka akan mendapat set peralatan sekolah dan kepada yang tidak mendapat set IM Pahang, kerajaan negeri menyediakan kad diskaun untuk mereka membeli peralatan sekolah.
“Program ini diadakan di seluruh negeri Pahang secara serentak hari ini dan sumbangan akan diserahkan oleh Exco atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ADUN Lantikan atau penyelaras DUN atau wakil mereka,” katanya.
Beliau berharap program berkenaan dapat mencapai objektif utama untuk membantu ibu bapa dan penjaga yang kurang berkemampuan dalam menyediakan peralatan sekolah kepada anak-anak mereka.-SAHIH